Wilkin sedar pentingnya Piala Asia buat peminat

Iklan
Pemain tengah Harimau Malaya, Stuart Wilkin. - Foto Bernama

PEMAIN tengah Harimau Malaya, Stuart Wilkin sedar betapa penting dan bermaknanya Piala Asia 2023 di Doha, Qatar bulan depan buat peminat bola sepak tempatan.

Wilkin, yang merupakan tonggak tengah Sabah FC berkata, penampilan Malaysia dalam edisi Piala Asia kali ini mengujakan peminat yang telah lama menunggu pasukan kebangsaan bertanding semula dalam kejohanan berprestij itu.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, pemuda berusia 25 tahun berdarah kacukan England-Malaysia itu mengakui Malaysia, di bawah bimbingan jurulatih Korea Selatan, Kim Pan Gon akan berdepan tugas sukar dalam Kumpulan E bersama Jordan, Bahrain dan juara dua kali Korea Selatan.

"Saat yang mengujakan untuk semua, sudah sekian lama Malaysia tidak beraksi dalam Piala Asia, jadi semua pihak tidak sabar untuk menyaksikan kejohanan itu.

Iklan

"Kami (pasukan) melihat kejohanan itu sebagai sangat mencabar kerana terdapat pasukan pada ranking lebih tinggi, terutamanya Korea Selatan, satu pasukan Piala Dunia, namun sebagai satu pasukan, kami akan bekerja keras dan memberikan yang terbaik," katanya kepada pemberita pada sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya, pada petang Jumaat.

Kali terakhir Malaysia beraksi di Piala Asia ialah ketika menjadi tuan rumah bersama edisi 2007 selepas dua penampilan iaitu pada 1976 di Iran dan 1980 di Kuwait.

Iklan

Sementara itu, Wilkin yang merupakan antara 'muka biasa' dalam skuad Pan Gon tahun ini, dapat merasai penambahbaikan dalam pasukan menjelang tugasan di Doha.

Mengulas kehadiran pemain berpengalaman Johor Darul Ta'zim (JDT) Natxo Insa dalam pasukan yang menjadikan saingan di bahagian tengah lebih sengit, Wilkin berkata rakan sepasukannya itu mempunyai kualiti yang baik.

"Saya percaya setiap pemain tengah mampu bermain dalam pasukan, jadi kami semua akan menggalakkan antara satu sama lain dan mendorong satu sama lain untuk menjadi yang terbaik," kata Wilkin yang menjaringkan gol pada penampilan sulungnya bersama Malaysia ketika mereka menewaskan Kemboja 4-0 dalam perlawanan persahabatan Disember tahun lepas.

Wilkin terus mencuri tumpuan apabila menjaringkan dua gol untuk membantu Malaysia menundukkan Singapura 4-1 pada perlawanan terakhir kumpulan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2022 di laman sendiri, awal tahun ini. - Bernama