KUALA TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Ubur-ubur beracun dikenali sebagai portuguese man o' war atau ubur-ubur api berwarna biru dilihat muncul kembali di pesisiran pantai di Terengganu.
Pusat Rujukan dan Repositori Laut China Selatan dalam satu hantaran di Facebook berkata, terdapat lebih kurang 50 ekor ubur-ubur dijumpai di Pantai Teluk Ketapang, Kuala Nerus setakat jam 10.30 pagi Jumaat.
Menurutnya, sejak dua hari lepas terdapat penemuan beberapa ekor ubur-ubur itu ditemukan di Pantai Universiti Malaysia Terengganu (UMT) oleh sukarelawan yang bersiar-siar di pantai berkenaan.
"Lebih mengejutkan apabila seorang staf 'Institute of Climate Adaptation and Marine Biotechnology' (ICAMB), UMT iaitu Dr C.S Thirukanthan yang merupakan seorang Pegawai Sains Kanan telah menemui lebih kurang 50 ekor ubur-ubur api itu di Pantai Teluk Ketapang pada Jumaat.
"Haiwan tersebut telah muncul dengan sangat banyak sejak lima tahun kebelakangan ini pada awal Januari dan Februari setiap tahun.
"Namun tahun ini lebih mengejutkan haiwan tersebut mulai ditemui terdampar pada akhir Disember dengan kuantiti yang banyak," katanya.
Justeru, orang awam diminta lebih berhati-hati ketika bercuti atau melawat di mana-mana pantai sekitar Terengganu.
"Ubur-ubur biru yang nampak cantik ini, berbisa dan bahaya jika disentuh.
"Sila dapatkan rawatan segera jika terdapat tanda-tanda sengatan dan simptom-simptom kebas.
"Jika terjumpa diminta laporkan kepada pihak berkuasa tempatan seperti Jabatan Perikanan Negeri atau pihak berkaitan," jelasnya.