SYDNEY - Operasi utama dilancarkan hari ini untuk mencapai ribuan individu di bandar pantai yang musnah teruk akibat kebakaran belukar di Australia selepas ia kini merebak di kawasan tumpuan pelancong dan kawasan pedalaman serta turut meragut sekurang-kurangnya lapan nyawa.
Kapal tentera laut bersama pesawat dikerah bersama kru kecemasan untuk memberikan bantuan kemanusiaan dan menilai kemusnahan akibat kebakaran paling dahsyat yang telah berlarutan selama beberapa bulan.
Polis mengesahkan tiga lagi mayat ditemukan, sekali gus menjadikan jumlah kematian kini mencecah lapan orang termasuk seorang sukarelawan bomba maut selepas trak 10 tan dinaikinya terbalik akibat ‘tornado api’.
Kebimbangan juga semakin meningkat selepas beberapa individu dilaporkan masih hilang dalam kebakaran semakin tidak terkawal di kawasan tenggara dan telah memusnahkan lebih 200 rumah dan beberapa bandar kecil.
Pesuruhjaya Perkhidmatan Bomba New South Wales (NSW), Shane Fitzsimmons berkata, pasukan kecemasan kini berdepan cabaran besar.
"Situasi sangat berbahaya dan kebanyakan penduduk masih terperangkap,” ujarnya.
Kebakaran dahsyat pada musim ini telah menyebabkan 13 terbunuh.
Selain itu, lebih 1,000 rumah dan kira-kira 5.5 juta hektar kawasan musnah iaitu saiznya lebih besar dari Denmark atau Netherlands. - AFP