RANTAU PANJANG - Kanak-kanak yang lemas selepas terjatuh ketika bermain banjir di sungai Kampung Petai Dusun, Baroh Pial, di sini Allahyarham Nur Damia Qaisara Mohd Sabri, pernah memberitahu guru sekolah bahawa dia dan rakan karibnya, Siti Aisyah Mahzi akan 'pergi jauh' bersama.
Ibunya, Farah Adnan, 32, berkata, anak sulungnya itu juga selalu bercerita kepada rakan-rakan sebelum cuti penggal persekolahan lalu tetapi mereka tidak menyangka gurauan itu menjadi kenyataan.
Bagaimanapun katanya, mereka sekeluarga sudah reda dengan pemergian Allahyarham tetapi anak bongsunya yang berusia dua tahun lebih selalu menyebut nama kakaknya apabila melalui kawasan kejadian.
"Anak bongsu saya akan menunjukkan ke arah sungai dan menyebut 'kak yong... kak yong' yang juga nama panggilan dalam keluarga kami," katanya ketika menerima lawatan dan sumbangan, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pada Sabtu.
Jelas beliau, mereka sekeluarga kini sudah boleh menerima hakikat kehilangan anak sulung kesayangan itu.
"Walaupun sukar melupakan peristiwa hitam itu namun saya tetap reda dengan pemergian Nur Damia," katanya.
Media sebelum ini melaporkan jasad Nur Damia Qaisara ditemukan lemas sehari selepas mayat Siti Aisyah dijumpai tidak jauh dari kawasan mereka bermain air.
Kedua-dua mereka terjatuh ke dalam air ketika bermain banjir di sungai Kampung Petai Dusun, Baroh Pial 24 Disember lalu.
Dalam pada itu, Farah bersyukur menerima sumbangan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang dapat mengurangkan beban perbelanjaannya terutama pada musim tengkujuh.
Sementara itu, ibu kepada Allahyarham Siti Aisyah, Rabiatul Saadah Abdullah, 33, juga mengakui sudah menerima hakikat pemergian anaknya itu.
Bagaimanapun, adiknya, Muhammad Adam Syawal, 8, pada mulanya kerap menyebut nama kakaknya dan selalu merinduinya.
"Alhamdulillah, dengan sokongan dan semangat keluarga, dia kini semakin baik serta sudah ceria," katanya.
Jelasnya lagi, sumbangan KKM dapat digunakan untuk keperluan persekolahan adik-beradiknya yang lain.