KUALA LUMPUR - Deretan khemah dapat dilihat hampir dengan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Jalan Tun Razak di sini hari ini, memasuki hari kelima piket solidariti untuk Palestin.
Salah seorang peserta yang mewakili badan bukan kerajaan (NGO) Sejagat, Syed Sheik, 34, berkata, walaupun menghadapi beberapa kesukaran seperti keperluan tandas, cuaca buruk dan sebagainya, namun sokongan masyarakat sekitar menguatkan semangat mereka untuk meneruskan piket.
Beliau berkata, selain kata-kata semangat orang ramai, ada juga individu yang menghantar makan kepada peserta piket berkenaan.
"Kesukaran kami di sini hanya sedikit jika dibandingkan dengan penderitaan saudara kita di Palestin,” katanya pada Sabtu.
Beliau yang juga Sekretariat Solidariti Palestin berkata, acara kemuncak piket itu malam esok akan menampilkan pelbagai aktiviti antaranya pameran kebudayaan Palestin, jualan buku, ceramah, puisi, persembahan muzik dan seni.
Seorang lagi peserta M Mythreyar, 45, berkata, ini bukanlah kali pertama beliau menyertai solidariti untuk Palestin.
Katanya, walaupun bukan beragama Islam, tetapi atas semangat perikemanusiaan dan tidak sanggup melihat rakyat Palestin terus ditindas, beliau hadir sebagai rakyat Malaysia untuk terus memberi tekanan kepada Israel dan sekutunya.
"(Pada pandangan saya) Apa yang berlaku di Palestin bukanlah peperangan, tetapi ia adalah satu bentuk penghapusan etnik,” katanya yang sanggup datang berkampung di situ dari Tanjung Malim, Perak.
Piket itu adalah inisiatif warga Malaysia yang prihatin dengan krisis di Gaza, selain sebagai tanda kecintaan kepada keamanan, susulan.
Menurut laporan media antarabangsa, sekurang-kurangnya 20,000 penduduk Palestin termasuk kanak-kanak terbunuh sejak tercetusnya konflik Israel-Palestin di Gaza pada 7 Okt lepas hingga kini.
Piket membabitkan 48 NGO yang merangkumi organisasi masyarakat, pertubuhan pemuda dan pelajar serta kelompok politik daripada pelbagai spektrum, dianjurkan sebagai simbolik pengepungan terhadap Gaza, selain menuntut supaya pembunuhan terhadap rakyat Palestin dihentikan, di samping mendesak supaya gencatan senjata dilaksanakan segera.
Antara NGO yang mengambil bahagian ialah Majlis Perundingan Islam Malaysia, Sejagat, Viva Palestina Malaysia, Yayasan Al Quds Malaysia, Suara Rakyat Malaysia dan Malaysian Women’s Coalition for Al-Quds and Palestine. - Bernama