SHAH ALAM - Syarikat penerbangan tambang murah, MYAirline memberi amaran kepada pelanggan berkenaan aktiviti penipuan melibatkan proses bayaran balik yang masih belum selesai.
Menerusi kenyataan pada Sabtu, syarikat yang telah menggantung operasinya itu turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan pelbagai taknik penipuan scammer.
"Baru-baru ini terdapat laporan mengenai seorang individu menyamar sebagai wakil MYAirline telah menghubungi pelanggan yang masih menunggu bayaran balik tempahan tiket penerbangan mereka.
"Scammer ini menggunakan pelbagai teknik termasuk panggilan telefon, emel atau mesej di platform media sosial untuk memperdaya pelanggan supaya memberi maklumat peribadi atau membuat pembayaran palsu.
"Justeru kami menasihatkan pelanggan untuk melakukan pengesahan sumber apabila menerima sebarang panggilan mengenai bayaran balik tiket," menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu MYAirlines memaklumkan, sebarang komunikasi rasmi berkenaan isu berkaitan akan dilakukan menerusi domain myairline.my.
Bagi sebarang bantuan atau pertanyaan lanjut mengenai bayaran balik, pelanggan digalakkan untuk menghubungi saluran perkhidmatan pelanggan rasmi MYAirline melalui customercare@myairline.my atau menghubungi 603 8966 2522.
"Elakkan berkongsi maklumat peribadi atau kewangan dengan mana-mana sumber yang tidak disahkan.
"Jika pelangan menghadapi sebarang komunikasi yang mencurigakan atau tingkah laku penipuan, laporkan kepada saluran sokongan pelanggan rasmi MYAirline atau pihak berkuasa berkaitan," menurutnya.
Pada 12 Oktober lalu, syarikat penerbangan tambang murah itu mengumumkan penggantungan operasinya ekoran berhadapan tekanan kewangan selain menunggu penstrukturan semula pemegang saham serta penjanaan semula modal syarikat itu.
Susulan itu seramai 125,000 penumpang dilaporkan terjejas dengan kerugian dianggarkan sebanyak RM20 juta berdasarkan jualan tiket penerbangan.