SHAH ALAM - Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon menyelar kenyataan Bekas Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Dr Ong Kian Ming berhubung cadangan jemputan Kongres Ekonomi Bumiputera (BEC) kepada masyarakat bukan bumiputera.
Norsyahrin berkata, cadangan yang dilontarkan itu seolah-olah merasakan bahawa semua perkara memerlukan pandangan masyarakat bukan bumiputera termasuk masalah kaum Melayu.
"DPMM kesal dengan kenyataan dan cadangan Kian Ming ini. Merasakan diri sudah bagus dan merasakan bahawa semua perkara perlu melibatkan mereka sehinggakan masalah kaum melayu pun mereka ini hendak masuk campur
"Usah berselindung di sebalik perkataan ‘masalah bersama’ bagi menghalalkan usaha campur tangan dan memperbudakkan tahap kemampuan berfikir kaum melayu.
"Jaga urusan kamu sendiri,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Media sebelum ini melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, BEC akan diadakan pada Januari tahun depan bagi menetapkan hala tuju dan pendekatan baharu agenda bumiputera yang lebih adil, saksama dan inklusif.
Pada Khamis, Kian Ming mencadangkan agar individu yang dijemput untuk berucap dalam BEC tidak hanya terhad kepada masyarakat bumiputera sahaja.
Menurut Kian Ming, ia berikutan ramai usahawan dari kalangan masyarakat bukan bumiputera yang ingin menyumbangkan pandangan dan pengalaman mereka dalam perbincangan tersebut.