MALAYSIA meninggalkan tahun 2023 yang penuh dengan peristiwa dan cabaran terhadap ekonomi, politik dan sosial terhadap negara dan penduduknya.
Cabaran yang berlanjutan daripada tahun 2022 itu diharap tidak akan melanda negara ini pada tahun 2024.
Biarlah 2023 tinggal sebagai kenangan dan pengajaran.
Bekalan makanan yang cukup dan harga yang berpatutan akan memastikan kita akan terus hidup dengan selesa.
Malaysia adalah negara yang memerlukan pengimportan bekalan makanan dari negara luar dalam jumlah yang besar.
Bayangkan keperluan negara ini yang banyak hinggakan beras, daging, telur dan ayam juga perlu diimport.
Oleh sebab masalah bekalan dan harga ini juga Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memperoleh markah tercorot berdasarkan pandangan awam pada tahun 2022.
Kejutan yang memalukan ini didedahkan dalam sesi pemukiman Jemaah Menteri pada Januari 2023 berikutan masalah bekalan telur termasuk ayam yang menjadi tumpuan negara selama berbulan-bulan ketika itu.
Masalah ayam dan telur telah berlaku sejak 2022 dan isu ini bukan berlaku selepas Kerajaan Perpaduan mengambil alih pentadbiran negara sejak Disember 2022.
Malahan markah tercorot tersebut adalah kesinambungan sejak kepimpinan kerajaan terdahulu.
KPKM tidak boleh berasa marah apabila rakyat membuat rungutan tentang masalah bekalan makanan yang berlarutan terlalu lama kerana itu adalah hak suara mereka.
Oleh sebab itu kerajaan perlu bertindak cepat untuk menstabilkan bekalan tersebut.
Kita bersyukur, KPKM di bawah kepimpinan Datuk Seri Mohamad Sabu nampaknya bersungguh-sungguh memastikan peranan Kementeriannya tidak terus dihina lagi.
Banyak pencapaian dan inisiatif kementerian ini sepanjang tahun 2023 bagi memastikan keterjaminan bekalan makanan negara tidak terjejas.
Nampaknya masalah bekalan telur ayam kembali sepi.
Telur ayam hilang di pasaran yang sudah berlanjutan hampir setahun semasa pentadbiran kerajaan terdahulu berjaya selesai dalam tempoh dua bulan melalui langkah intervensi jangka pendek import dari negara luar.
Melalui siri lawatan ke Indonesia, China, Rusia, Tarkistan, Itali dan Hungary, KPKM meneroka kerjasama untuk memastikan sekuriti makanan negara terjamin dan berada pada tahap terbaik.
Ini kerana kita tahu tidak semua inisiatif pertanian dapat dihasilkan dalam negara ini dengan kos yang lebih efisien selain memerlukan bekalan dari negara luar.
Tahun 2023 memperlihatkan keupayaan KPKM meningkatkan pengeluaran padi mengikut model Sekinchan, Selangor di dua kawasan percubaan.
Hasil padi per hektar di Kampung Lat 1000, Perlis berjaya ditingkatkan daripada 7 tan metrik kepada 10.45 tan metrik dan di Besut, Terengganu daripada empat tan metrik kepada tujuh tan metrik.
Banyak usaha dilakukan pihak KPKM untuk mengatasi pelbagai isu berkaitan pertanian dan bekalan makanan negara.
Sejak dasar pengapungan harga ayam sejurus subsidi ayam ditarik oleh kerajaan pada November lalu, bekalan ayam kembali stabil dan harganya mengikut permintaan pasaran semasa.
Melalui dasar ini setiap tahun kerajaan akan menjimatkan lebih RM1.2 bilion yang dianggarkan secara kasar berjumlah lebih RM100 juta sebulan.
Selain itu, pelbagai program termasuk jualan terus kepada pengguna anjuran agensi seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Pasar Nelayan di Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) telah membantu mengurangkan kebergantungan terhadap orang tengah dan pengguna mendapat harga murah.
Berhubung dengan harga murah ini, segelintir rakyat tertanya-tanya mengapa mereka terutama golongan B40 dan M40 harus bersusah payah perlu mencari barangan murah semasa Jualan Agro Madani?
Mengapa barangan murah ini seperti beras, daging dan telur ayam tidak disediakan di pasar harian atau pasar awam?
Ada ‘muslihat’ di sebalik langkah yang diambil oleh KPKM ini.
Tidak mungkin kerajaan mahu mengganggu permintaan dan penawaran barangan di pasaran terbuka milik pemborong, peniaga pasar raya besar atau kecil serta pekedai runcit.
Jika kerajaan berbuat demikian, maka ia menjejaskan pendapatan dan mata pencarian mereka.
Suatu perkara penting, ia adalah satu usaha untuk mengubah pemikiran dan membiasakan rakyat dengan program kerajaan khasnya program anjuran KPKM. Kadang-kadang kita sendiri jarang mengunjungi pasar tani yang ada di kawasan bandar atau luar bandar.
Kita berfikiran harga barangan di pasar tani tidak jauh bezanya dengan di pasar awam biasa.
Maka ada sesetengah pasar tani mendapat sambutan yang kurang memberangsangkan.
Kini keadaan pasar tani sudah berbeza. Dengan banyak alternatif disediakan oleh KPKM di Jualan Agro Madani maka rakyat boleh lebih berjimat.
Di samping itu sambutan terhadap program ini mengubah pemikiran kakitangan kerajaan khasnya KPKM.
Jika sebelum ini pemikiran sesetengah staf KPKM menganggap perniagaan bukan entiti tugas mereka.
Oleh itu jika hasil tani tidak laku pun, mereka tetap mendapat gaji setiap bulan. Ini jauh berbeza dengan peniaga yang memikirkan tiada jualan atau barangan tidak laku maka tiadalah pendapatan buat mereka pada hari itu.
Contohnya apabila peniaga atau usahawan menghantar hasil tani seperti buah nangka, pisang dan lain-lain, sesetengah pihak dalam jabatan kerajaan tidak bersungguh-sungguh membantu memasarkannya.
Jika ada pembeli datang ke pusat jualan, soal layanan kepada pembeli bukan perkara utama. Hasil tani terjual atau tidak, ia bukan masalah kerana pada akhirnya barangan itu akan dipulangkan kepada peniaga asal walaupun sudah rosak.
Sebab itu petani, pengusaha ladang lebih gemar menjalankan urus niaga dengan orang tengah,biarpun hasil usaha mereka dibayar murah.
Untuk mengatasi orang tengah ini KPKM mengadakan Jualan Agro Madani yang semakin mendapat sambutan peniaga dan masyarakat.
Ini memperlihatkan kerajaan mendekati rakyat dengan membawa produk-produk dengan harga berpatutan dan rendah daripada sektor pertanian.
Sekurang-kurangnya semakin bertambah pengusaha menyertai program KPKM ini bagi menambah pendapat mereka dan rakyat pula dapat berjimat-cermat.
Mungkin ini satu norma hidup baru kepada kita yang nampak susah tetapi lama-kelamaan menjadi kebiasaan.
Oleh itu program Jualan Agro Madani perlu diteruskan bagi tahun 2024 dan diperluaskan. Menyedari kos sara hidup yang meningkat, Kerajaan Perpaduan perlu meneruskan inisiatif untuk menganjurkan Jualan Agro Madani di seluruh negara.
Ia juga dapat menyumbang kepada peningkatan kebolehdapatan dan ketersediaan bagi memudahkan pengguna mendapatkan bekalan produk segar pada harga berpatutan.
Dalam tempoh satu tahun menerajui KPKM, Mohamad dilihat semakin dihormati dengan tidak putus-putus menggalakkan orang yang dipimpinnya supaya bekerja kuat dengan meningkatkan jualan para petani, pesawah, peladang, nelayan dan penternak demi kelangsungan hidup semua rakyat.
Dalam usaha memastikan jaminan sekuriti bekalan makanan negara, KPKM perlu sentiasa memantau status bekalan lapan komoditi makanan utama negara. Ini termasuklah beras, daging ayam, telur ayam, daging lembu, susu segar, sayur, buah-buahan dan ikan sentiasa mencukupi.
* Tulisan Amirul Azim, Kuala Lumpur