PERMATANG PAUH - Tujuh kenderaan hangus manakala dua orang cedera termasuk seorang pekerja warga asing yang melecur 70 peratus akibat kebakaran di sebuah gudang di Jalan Permatang Janggus, di sini pada Sabtu.
Kejadian yang berlaku jam 11 pagi itu mengakibatkan sebuah lori tangki, sebuah trak angkat susun, tiga kereta dan dua motosikal yang berada dalam kawasan gudang berkenaan musnah terbakar.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu jam 11.05 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Penanti dikerahkan ke lokasi kebakaran.
Menurutnya, gudang kelas B dengan anggaran keluasan gudang 120x120 meter persegi musnah sebanyak 80 peratus.
"Terdapat dua orang mangsa iaitu seorang lelaki warga Myanmar berusia 50-an melecur 70 peratus manakala wanita berusia 30-an cedera ringan.
"Operasi memadamkan kebakaran turut mendapat bantuan dari pasukan Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Perda, Bertam, Sungai Bakap serta pasukan bomba sukarela berhampiran sebelum kebakaran dapat dikawal pada jam 11.48 pagi dan dipadamkan sepenuhnya pada jam 1.20 petang," katanya menerusi kenyataan, pada Sabtu.
Difahamkan, gudang terbabit menyimpan bahan pencair (thinner) dan cat serta barangan pertukangan.
Kejadian itu menyebabkan api menjulang tinggi dan asap hitam menyelubungi ruang udara sekitar lokasi kejadian.
Sementara itu, jurucakap berkenaan berkata, selepas kebakaran dipadamkan sepenuhnya, pasukan bomba seterusnya menjalankan kerja-kerja 'overhaul' bagi memastikan kawasan kejadian selamat sebelum operasi berkenaan ditamatkan pada jam 6.45 petang.
Katanya, siasatan lanjut kini sedang dilakukan oleh Pegawai Penyiasatan Kebakaran (FIO) untuk mengenal pasti punca kejadian.