PELAKSANAAN caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi atlet di bawah Program Podium sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) dalam menjaga kebajikan atlet.
Pengerusi Yakeb, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata, caruman KWSP merupakan simpanan masa depan atlet untuk persaraan kelak manakala caruman PERKESO bagi menjaga kebajikan golongan itu jika ditimpa kemalangan, kecederaan atau lain-lain penyakit.
"Ia (caruman KWSP dan PERKESO) juga sebenarnya secara tidak langsung akan mengurangkan beban Yakeb," katanya kepada pemberita pada Kejohanan Bola Sepak KTM Komuter 2023 di sini hari ini.
Pada 21 November lepas, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengumumkan caruman KWSP dan PERKESO yang akan dilaksanakan bermula Januari tahun depan, telah diputuskan oleh Lembaga Pengurusan Majlis Sukan Negara (MSN) selepas kajian semula skim elaun latihan atlet kebangsaan dengan penekanan kepada kesejahteraan atlet diluluskan.
Ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Belia dan Sukan di Dewan Rakyat, Hannah juga berkata caruman itu merupakan pengubah keadaan yang dilaksanakan kerajaan kerana sebelum ini tiada sebarang program membolehkan atlet negara mencarum dengan KWSP dan PERKESO.
Noorul Ariffin berkata, meskipun para atlet akan mencarum kelak, Yakeb tetap akan menyalurkan bantuan kepada atlet berkenaan untuk memastikan kebajikan mereka sentiasa terjamin.
Sementara itu, mengenai Kejohanan Bola Sepak KTM Komuter 2023 yang dianjurkan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) itu, Noorul Ariffin berkata, ia merupakan inisiatif terbaik untuk membawa bekas atlet berinteraksi dengan masyarakat.
Menurutnya sebelum ini terdapat juga kejohanan bagi sukan badminton dan bola jaring dianjurkan bagi mendekatkan lagenda sukan tanah air itu kepada masyarakat.
"Harapan kami di Yakeb supaya badan korporat dan agensi kerajaan membantu bekas atlet ini kembali bersama komuniti,” katanya. - Bernama