Angkat berat ikrar bersih doping

Iklan
AYUB

TAHUN 2023 bagai menjelmakan sinar baharu buat Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) apabila tiada sebarang kes doping direkodkan terhadap mana-mana atlet kebangsaan.

Situasi tersebut ternyata melegakan badan induk sukan angkat berat negara itu selepas mereka sering kali dipalit dengan isu doping atau penyalahgunaan bahan terlarang dalam beberapa tahun sebelumnya.

Iklan
Iklan

Bagi Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat, beliau secara peribadi lega apabila barisan atlet angkat berat negara bersih daripada sebarang isu pengambilan bahan terlarang tahun ini.

"Sejak dilantik sebagai presiden lagi, saya memang tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dalam hal berkaitan penyalahgunaan bahan terlarang atau doping.

Iklan

"Pendirian saya dalam bab ini cukup jelas. Saya tegas dalam menangani kes doping membabitkan mana-mana atlet angkat berat negara,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Untuk rekod, PABM mengambil inisiatif sendiri ‘menggantung’ barisan atletnya selama setahun bermula 31 Mei 2018 hingga 1 Mei 2019 untuk tidak menyertai kejohanan di bawah anjuran Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF).

Iklan

"Jadi, atlet kita tidak terlibat dalam sebarang pertandingan termasuk Kelayakan Olimpik (Tokyo 2020) dalam tempoh setahun itu,” jelasnya.

Mengakui apa yang berlaku itu sebagai detik hitam kem angkat berat negara, Ayub berharap tahun-tahun mendatang akan membuka lembaran baharu buat PABM.

"Sebenarnya apabila ada kes doping ini, ia secara tidak langsung memadamkan harapan pihak persatuan (PABM) dan juga negara untuk mendapatkan pingat dalam mana-mana kejohanan yang disertai atlet negara.

"Ini kerana atlet-atlet berkenaan adalah harapan kami dalam menghadirkan kilauan pingat buat Malaysia. Jadi, apabila mereka terlibat (dengan doping), ia satu kerugian buat skuad angkat berat Malaysia.

"Apabila ada atlet yang dikenakan hukuman penggantungan empat tahun, sudah tentu ia akan menjejaskan perancangan kami untuk tahun-tahun akan datang, seterusnya itu sudah merugikan Malaysia,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ayub berkata, tindakan tegasnya memerangi isu doping dalam kem angkat berat negara bukan bermotifkan ‘membunuh’ karier atlet terutamanya yang masih muda.

"Sejujurnya tiada sekelumit dalam hati saya ini mahu ‘mematikan’ karier atlet, tidak kira yang sudah mewakili Malaysia atau di peringkat negara apabila saya mengambil tindakan tegas terhadap kes doping.

"Apa yang saya lakukan ini hanya untuk membersihkan nama PABM yang sering terpalit dengan isu doping. Sudah-sudahlah dengan apa yang berlaku selama ini.

"Saya mohon kepada pihak di luar sana, amati betul-betul apa yang kami sedang lakukan sekarang. Tiada niat kami untuk memusnahkan industri angkat berat itu sendiri,” katanya.

Tambah Ayub, beliau bersama barisan kepimpinan PABM kini sedang berusaha untuk memastikan tiada lagi isu doping membelenggu badan induk itu sekalipun terpaksa berdepan cabaran.

"Dalam tempoh tiga hingga empat tahun kebelakangan ini, kami cuba mengikis pandangan masyarakat luar yang mengatakan bahawa angkat berat sinonim dengan doping.

"Untuk itu juga, kami mohon kerjasama dengan persatuan angkat berat negeri-negeri untuk terus memantau atlet masing-masing. Ingat, ini bukan tugas kami sahaja selaku badan induk angkat berat negara.

"Semua pihak harus memainkan peranan masing-masing dalam menangani isu doping ini. Kita nak pastikan, angkat berat Malaysia terus ‘hidup’ selama-lamanya,” jelas Ayub.