MRS Malaysia World 2023, P Vanishaantini bakal memperagakan kostum wau terbesar bagi merebut gelaran Best National Costume pada pertandingan Mrs World 2023 di Las Vegas, Amerika Syarikat pada Januari ini.
Direka oleh Saran Anak Lagong, kostum bersaiz 3.8 meter tinggi dan 4.8 meter lebar itu juga berjaya mendapat pengiktirafan The Malaysia Book of Records sebagai"Kostum Wau Terbesar" dalam satu majlis yang diadakan di sebuah hotel, di sini hari ini.
Vanishaantini, 27, berkata penyertaan beliau ke pertandingan itu diharap dapat membawa nama Malaysia dengan memaparkan keunikan kehalusan seni kraf tempatan.
"Saya berbangga kerana dapat mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa dengan membawa kostum ini kerana saya mahu membawa sesuatu yang unik dan tidak pernah dilakukan oleh sesiapa sebelum ini," katanya ketika ditemui pemberita.
Beliau berkata dirinya mengambil cabaran untuk memperagakan kostum seberat kira-kira 10 kilogram itu dengan membuat persediaan dari segi mental serta fizikal.
"Sejak Mac lagi, saya secara berterusan berlatih catwalk, menjaga kesihatan dan pada masa sama mengendalikan perniagaan selain terlibat dengan kerja-kerja sosial. Saya berharap dapat membuat yang terbaik pada pertandingan itu nanti," katanya. - Bernama