Langkah Dubai cerita dongeng rekaan J-KOM - Wan Ahmad Fayhsal

Iklan
Wan Ahmad Fayhsal

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal membidas dakwaan berkenaan Langkah Dubai yang dibangkitkan oleh Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) sebagai rekaan cerita dongeng untuk menutup kegagalan Kerajaan Madani.

Beliau yang juga Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, kerajaan tidak sepatutnya membangkitkan perihal di luar konteks negara, sebaliknya fokus dengan masalah rakyat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, terdapat pelbagai isu yang menjadi keresahan rakyat, namun kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal menguruskan persepsi itu.

"Saya nampak ia langkah terdesak kerajaan hari ini dilihat gagal menguruskan rasa bimbang dan curiga rakyat.

Iklan

"Semua ini menimbulkan keresahan rakyat, sebaliknya mereka menggunakan J-KOM untuk menyerang pembangkang yang rajin dan gigih bekerja walaupun tanpa sebarang peruntukan,” katanya dalam satu hantaran video di Facebook pada Sabtu.

Sebelum ini, tular di media sosial berhubung dakwaan sekumpulan ahli Parlimen PN berada di Dubai sebagai percubaan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Iklan

Menurut dakwaan tersebut, beberapa ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) turut berada di negara berkenaan bagi melakukan percubaan yang sama.

Susulan itu, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris memberitahu bahawa beliau tidak mempunyai sebarang maklumat berhubung dakwaan tersebut.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fayhsal berkata, perkara tersebut bukan sahaja mencipta persepsi jahat, sebaliknya ia melaga-lagakan rakyat termasuk istana dan juga parti politik.

Jelasnya, walaupun bergelar pembangkang, namun mereka mahu tetap berkhidmat kepada rakyat tanpa mengambil kira soal permainan politik yang ditimbulkan oleh pihak lain.

"Jadi rakyat dan orang awam jangan termakan dengan permainan politik ini.

"Tok abah J-KOM tidak perlu menggelupur untuk menjadi balaci kepada pemimpin kamu,” ujarnya.