Rusia lancar serangan misil terbesar

Iklan
Anggota bomba cuba mengawal kebakaran selepas sebuah bangunan di Dnipro menjadi sasaran bedilan.

KIEV - Rusia melancarkan gelombang serangan terbaharu menyasarkan kemudahan tentera Ukraine di selatan, barat dan timur negara itu ketika komuniti antarabangsa memberi tumpuan penuh kepada perkembangan perang genosid di Genting Gaza.

"Angkatan Tentera Udara kami melakukan 50 serangan berganda dan satu serangan besar-besaran dengan senjata tepat dan dron. Kesemuanya mengenai sasaran,” ujar Kementerian Pertahanan di Moscow ketika menghebahkan tentang ‘operasi mengejut’ ke atas Kiev dalam tempoh beberapa bulan selepas fasa konflik tersebut mula perlahan.

Iklan
Iklan

Insiden serangan seperti dalam babak filem itu turut menyaksikan bunyi siren bergema di seluruh negara ketika dron, hipersonik cruise dan misil balistik menuju ke Kiev, Odesa, Dnipropetrovsk, Kharkiv, serta Lviv pada awal pagi Jumaat yang turut menyebabkan 30 terkorban, manakala lebih 150 mangsa cedera.

Sebuah sekolah di barat Ukraine mengalami kerosakan teruk akibat operasi mengejut itu.

"Ia adalah serangan peluru berpandu paling dahsyat sejak konflik ini bermula,” kata jurucakap Tentera Udara Ukraine, Yuriy Ignat.

Iklan

Pegawai di Kiev mendakwa Moscow menggunakan 18 pengebom strategik Tu-95 untuk menembak peluru berpandu di bawah operasi mengejut itu.

Difahamkan, serangan dahsyat itu dilancarkan beberapa hari selepas Kiev meraikan kejayaan kempen pengeboman ke atas kapal perang milik Rusia di pelabuhan Feodosia di Crimea.

Iklan

Sementara itu, tentera Poland mengesahkan mereka mengesan misil dilancarkan Kremlin melalui ruang udara negara itu selama beberapa minit menuju ke Ukraine.

Beberapa kenderaan yang musnah di Lviv.

"Pengesahan berkenaan dibuat oleh radar. Kami turut mengerahkan jet pejuang untuk memintas dan menembak jatuh objek tersebut, namun gagal dek kepantasan dan jangka masa peluru berpandu tersebut,” jelas Ketua Turus Am, Jeneral Wieslaw Kukula.

Kiev yang bergantung penuh kepada sokongan Barat juga tidak menjangkakan serangan sedemikian yang memusnahkan sejumlah infrastruktur awam dan bekalan elektrik terputus di beberapa wilayah.

"Hari ini Moscow menggunakan segala kekuatan yang mereka ada untuk menyerang kami,” kata Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy setelah sebahagian bantuan bagi menyokong operasi ketenteraan mereka kini terhenti.

Bangunan kediaman penduduk dikatakan turut dibedil dalam serangan berskala besar itu.

Tentera Ukraine menganggarkan Kremlin melancarkan kira-kira 158 misil dan dron, dengan 114 daripadanya dikatakan telah dimusnahkan.

Insiden itu juga mengundang kritikan dalam kalangan pemimpin Eropah dan sekutu Kiev, malah Britain turut mengumumkan akan menghantar kira-kira 200 misil pertahanan udara kepada Ukraine sebagai usaha menangkis serangan Rusia. - AFP