SHAH ALAM - Orang ramai berpeluang mendengar perkongsian pengalaman mistik secara langsung dalam TikTokers Sembang Seram di Kompleks Karangkraf di sini pada 7 Januari bermula dari jam 8.30 pagi hingga 2 petang.
Eksekutif Pemasaran Digital Grup Buku Karangkraf, Muhamad Khair Sabilan berkata, perkongsian itu diadakan sempena Festival Seram Buku Prima 2024 yang menampilkan empat pempengaruh TikTok dikenali sebagai Ossasuke Hikaru, KakDya, Idham Nawawi dan Boss Wan.
Menurutnya, sesi perkongsian tersebut dibahagikan kepada empat slot bermula dengan Ossasuke Hikaru dengan tajuk Hantu Dalam Peradaban: Wujud Atau Khayalan.
KakDya pula akan berkongsi informasi tentang fakta-fakta seram, ngeri dan kisah pembunuhan mistik dalam slot kedua iaitu Mistik Dan Misteri Alam Ghaib, katanya.
"Slot ketiga diikuti Idham Nawawi dengan tajuk Mengetuk Pintu Alam Ghaib: Disebalik Cerita Seram manakala slot terakhir pula iaitu Jejak Ngeri Paranormal akan dikongsikan oleh Boss Wan susulan minatnya menjelajah ke tempat-tempat yang keras dan mistik.
"Pempengaruh ini ada lebih 100,000 pengikut di TikTok malah mencecah jutaan. Jadi, kami mengambil inisiatif ini untuk kumpulkan peminat genre seram yang mana sebelum ini mereka hanya mendengar kisah-kisah berkenaan dalam media sosial sahaja,” katanya kepada Sinar Ahad pada Sabtu.
Festival Seram Buku Prima 2024 bakal berlangsung di Kompleks Karangkraf di sini, bermula dari 5 hingga 7 Januari depan.
Para pengunjung juga bakal disajikan dengan pameran, rumah hantu, gerai jualan makanan dan buku seram termasuk reruai oleh Sinar Harian iaitu Zon Keras yang mengetengahkan isu misteri, psiko serta thriller.
Antara tarikan menarik di zon tersebut ialah bilik pengakuan dan soal siasat yang biasa dilakukan oleh polis.
Tambahnya, orang ramai yang berminat untuk menyertai sesi perkongsian tersebut boleh mendaftar di www.karangkrafmall.com dengan bayaran sebanyak RM20 seorang.