Sastera, sayembara dan dana

Iklan
Gambar hiasan 123RF

KATA-KATA Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa sastera dapat menghidupkan imaginasi pembaca dan semangat patriotik cintakan negara, sekali gus mendidik inspirasi moral dan nilai murni dalam jiwa bangsa.

Demikian cetusan idealismenya ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Parlimen pada Oktober lalu.

Iklan
Iklan

Ya, sastera itu bermain-main dengan falsafah, pemikiran dan impian yang diutarakan dalam pelantar tersendiri. Sastera dalam konteks masyarakat madini perlu disuguh, digerak dan dinyawakan tanpa ragu-ragu.

Hakikatnya, pelantar sastera itu ialah buku bukan dasar awam.

Iklan

Bagaimana pula buku itu dihasilkan; banyak langkah perlu dihadapi namun yang diperlukan ialah peruntukan untuk membiayai kos penerbitan.

Namun sebaliknya sesetengah pandangan meletakkan dasar awam yang berupaya menghidup, menceria malah menyawakan sastera maka timbullah idea mewujudkan Dasar Sastera Kebangsaan (DSK) kerana meniru pembentukan dasar awam lain.

Iklan

Apakah DSK mampu tingkatkan mutu sastera kebangsaan atau boleh memancarkan idealisme Perdana Menteri seperti diungkap dalam belanjawan itu?

Dasar hanyalah bentuk aturan atau skop panduan untuk bertindak secara tersusun yang menitikberatkan profesionalisme.

Tindakan tersusun dengan pelaksanaan bertempoh dan ketat dengan prosedur operasi standard (SOP) merumitkan sastera itu berkembang.

Justeru dasar tidak mampu melahirkan karya sastera atau genre novel bermutu tinggi melainkan dengan sayembara.

Umpamanya, Malaysia pernah melahirkan novel-novel hebat menerusi sayembara menulis novel antaranya, Musafir, Salina dan Layang-Layang Putus Tali (1958), Desa Pingitan, Lingkaran dan Angin Hitam (1962), Sandera, Pulanglah Perantau dan Badan Bertuah (1967), Nafas Yang Hampir Putus (1973), Cerah (1975), Saga, Bulan Merah di Tiga Kuala dan Warna-Warna (1976), Arca Berdiri Senja, Pelarian dan Tiga Cucu (1978), Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman, Warisan dan Jejak Pulang (1979).

Karya itu terpilih sebagai pemenang kerana telah diuji nilainya berdasarkan ukurtara karya sastera yang berkualiti.

Apakah sayembara menulis novel mampu melahirkan karya setaraf One Hundred Years of Solitude oleh Gabriel Garcia Marquez atau setanding Da Vinci Code (Dan Brown) atau setidaknya seiring dengan karya-karya yang dihasilkan Pramoedya Ananta Toer dari Indonesia serta Jose Rizal (Filipina) yang mencetuskan perubahan paradigma pemikiran masyarakat dalam gelombang politik kontemporari yang tidak berakarkan konsep idealisme madani.

Jawabnya, tidak! Pandangan ini subjektif sifatnya. Boleh sahaja betul atau tepat pada sasaran atau tersasar daripada matlamat tetapi hal itu bukan alasan untuk menarik diri kerana uji kaji seperti dalam makmal sains harus digiatkan dalam dunia sastera.

Namun begitu Kerajaan Perpaduan harus juga memikirkan apakah wajar DSK itu diwujudkan sama seperti dasar baharu pemerintah; Dasar Gaji Progresif yang menekankan kos sara hidup ketimbang DSK menekankan idealisme Perdana Menteri terhadap fungsi sastera iaitu semangat patriotik cintakan negara, sekali gus mendidik inspirasi moral dan nilai murni dalam jiwa bangsa sesuatu memerlukan pelan bertindak yang membabitkan sistem pendidikan negara.

Pakar-pakar sastera perlu memikirkan resolusinya.

Tetapi dalam jangka pendek ini, peruntukan RM50 juta yang diwartakan dalam Belanjawan Madani untuk mengetengahkan karya seni dan sastera dan mempergiatkan persembahan teater warisan harus ada skim pengagihan yang mampan.

Cadangan satu pertiga dana itu boleh disalurkan untuk sayembara menulis novel madani wajar difikirkan oleh ‘agensi yang berpotensi’ diberi amanah untuk mempergiatkan inisiatif memupuk minat membaca karya agung dalam kalangan belia ketimbang menerbitkan buku ad hoc berjenama ‘Inisiatif Belanjawan 2023’ seperti yang diusahakan tahun lalu.

Sayembara menulis novel Madani yang menawarkan hadiah utama bernilai jutaan ringgit sekali gus mencipta seorang berdua jutawan dalam kalangan novelis tanah air.

Hal ini mewujudkan perubahan paradigma dalam penganjuran sebelum ini dan akan melakarkan sejarah untuk Kerajaan Perpaduan yang diketuai oleh Anwar sementelahan pula Perdana Menteri seorang peminat sastera nombor satu negara! Sejak negara merdeka hampir tujuh dekad lalu, inilah masanya negara bertuah menerima seorang Perdana Menteri yang meminati sastera, malah peruntukan RM50 juta yang diberi kepada sektor seni sastera bagi kali kedua, amaunnya telah ditokok daripada sebelumnya hanya RM20 juta sahaja.

Wajar peruntukan tahun ini satu pertiga daripadanya disalurkan kepada pengendalian sayembara menulis novel Madani dapat memberi keuntungan kepada novelis yang berjaya malah sekali gus memperinci, memahamkan serta menyebar-luaskan idealisme Anwar berkaitan masyarakat Madani dalam pelantar sastera yang dapat dibaca oleh sebilangan besar khalayak, apatah lagi novel-novel yang menang itu dialih-bahasakan ke beberapa buah bahasa antarabangsa seperti Inggeris, Sepanyol, Turki, Jerman, Tamil, Manderin dan Indonesia.

Melalui novel yang menang daripada sayembara itu, kebijakan idealisme Madani akan menyalar dan terus merayap di ruang fikir pembaca di seluruh benua, tidak hanya berkisar di tanah air sahaja.

Dana yang diberikan dapat dimanfaatkan secara optimum bagi mencapai matlamat kerajaan yang mahu memartabatkan seni, budaya, bahasa dan sastera negara.

NOVEL MADANI

Idealisme Madani adalah satu visi kerangka dasar reformasi untuk membangunkan negara.

Anwar telah melakarkan dasar madani sebanyak enam rukun iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan yang harus diterapkan dalam penulisan novel madani.

Justeru pelaksanaan sayembara penulisan novel Madani dicetuskan berasaskan ungkapan Anwar dalam bukunya From Things Change to Change Things: 21 iaitu;

"Kita boleh bergerak dengan menerima kenyataan bahawa ‘keadaan berubah’; atau kita boleh juga memilih untuk ‘merubah keadaan’.

Sindrom keadaan-berubah memaksa kita mengambil langkah-langkah sementara sebagai reaksi terhadap perubahan persekitaran, sementara merubah-keadaan dalam kerangka jangka masa panjang memerlukan penakkulan yang jernih dan tindakan yang rasional melalui proses berfikir yang berterusan dan sistematik, berdasarkan nilai dan norma yang jelas, serta meneliti matlamat-matlamat yang dirumus dari kesepakatan rakyat.”

Demikian nasihat Perdana Menteri ke-10 apabila hendak melakukan sesuatu tindakan dan pelaksanaan apa sahaja program bagi kesejahteraan stakeholder atau pemegang taruh.

Begitu juga apa yang diungkapkan oleh Jose Rizal dalam novelnya, Noli Me Tangere bahawa ‘aku menulis untuk zaman yang lain’ bermaksud sesuatu yang akan dilakukan harus mengambil kira kehendak zaman mendatang kerana novel yang dikarang itu untuk pemegang taruh zaman baharu atau generasi AI (artificial intelligence) bukan generasi hari ini.

Walaupun begitu baki dana itu dapat juga disalurkan kepada badan-badan penulis, bahasa dan sastera sewajarnya mampu menggerakkan kreativiti masing-masing dalam penyegaran kegiatan sastera yang selama ini hidup segan mati tak mahu.

* M Zaki Arif ialah nama pena Dr Zabidin Haji Ismail. Beliau ialah penulis, penyunting, penerbit dan Presiden Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk)