KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengingatkan pemilik premis menghentikan sikap mementingkan diri apabila meletakkan halangan di petak parkir awam bagi tujuan 'cop parkir'.
DBKL memaklumkan sebanyak 67 halangan terdiri 40 kon, 21 tiang besi simen, empat water barrier dan dua tong telah disita menerusi penguatkuasaan dijalankan oleh Pejabat Cawangan Segambut dan Jabatan Penguatkuasaan di sekitar kawasan komersial Bandar Manjalara dan Medan Putra
Menurutnya, dua restoran juga telah dikenakan tindakan di bawah Seksyen 46 Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 kerana menyebabkan halangan.
"Tindakan ini diambil setelah mendapati terdapat premis di kawasan tersebut meletakkan pelbagai halangan dalam petak parkir awam bagi tujuan persendirian dan perniagaan.
"Semua premis yang berkaitan juga telah diberi teguran supaya tidak meletakkan apa-apa halangan dalam petak parkir awam," katanya menerusi hantaran di Facebook DBKL.
Sementara itu, hantaran tersebut mendapat reaksi positif daripada pengguna media sosial yang berharap operasi seperti itu diteruskan secara konsisten.
"Sebaiknya tindakan tersebut dilaksanakan secara berterusan. Petak parkir di hadapan restoran 24 jam juga perlu ditinjau kerana mengganggu pengguna lain yang berpusing-pusing apabila mahu membeli-belah," komen Rosli Sulaiman.
"Syabas terbaik DBKL. Harap boleh juga buat di Setapak atau Wangsa Maju terutama kedai makan yang ambil kawasan parkir," komen Muhammad Hafiz Abdul Rahim.
"Teruskan... masuk Pantai Dalam.. Bandar Permaisuri," tulis Rahim Retro.
"Mantap... cuba tengok sekali Jalan Sultan Petaling Street, parking kereta buat jalan sesak," Dzulfadlil Azim Dzolfiqar.
Terdapat juga pengguna media sosial yang meminta penguatkuasaan terhadap isu cop parkir itu diperluaskan ke kawasan perumahan terutama pangsapuri dan perumahan awam DBKL.
"Terbaik... baru betul.. undang-undang kena ikut.. Jangan ikut suka hati masing-masing. Kawasan perumahan awam pun kene bersihkan semua palang, botol di parking awam," komen Anney Omar.
"Pergi tengok sekali blok-blok PPR bawah seliaan DBKL ada yang buat cop parking dengan letak water barrier, motosikal dan kon," tulis Cermin Diri Dulu.