Tiga cabaran menanti skuad takraw negara

Iklan
Aksi pemain negara, Azlan Alias (kiri) ketika berdepan lawan dari Thailand, Varayut Jantarasena (tengah) dalam perlawanan akhir berpasukan lelaki acara sepak takraw Sukan Asia Hangzhou 2022 pada 29 September lalu.

SKUAD takraw negara akan membuat persiapan rapi sebelum menghadapi tiga kejohanan utama tahun depan iaitu Kejohanan Asia, Piala Dunia dan Kejohanan Sepaktakraw Dunia Piala Raja Thai.

Ketua jurulatih skuad sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun berkata, Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) telah merangka perancangan untuk memastikan skuad negara mampu tampil cemerlang dalam tiga kejohanan utama itu.

Iklan
Iklan

"Kita dah duduk dengan persatuan, Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN). Kita sudah rangka untuk perjalanan program tahun depan.

"Kita nak buat 'test match' 1 hingga 5 April sebelum pergi Korea Selatan untuk Kejohanan Asia pada hujung April, Piala Dunia pada bulan Mei (Kuala Lumpur) dan Kejohanan Sepak Takraw Dunia Piala Raja Thai (Bangkok, Thailand) pada Julai,” katanya kepada Sukan Sinar.

Iklan

Untuk tahun 2023, skuad sepak takraw negara meraih empat pingat perak menerusi acara regu berpasukan, antara regu, double dan chinlone (same stroke) serta dua gangsa menerusi chinlone (non repetition dan linking) pada Sukan SEA di Kemboja.

Pada Sukan Asia Hangzhou pula, skuad negara terpaksa akur dengan kekuatan Thailand selepas hanya menang perak untuk acara antara regu dan berpasukan.

Iklan

Mengulas mengenai pencapaian pada tahun ini, Ahmad Jais mengakui banyak lagi aspek perlu diperbaiki para pemainnya.

"Bagi saya secara peribadi saya tengok pemain yang kita ada dalam program tahun ini agak baik cuma dari segi komitmen, disiplin dan pengurusan masa kena tingkatkan lagi.

"Selain itu, saya perasan pemain-pemain suka untuk 'all out' pada minit-minit akhir dan bukan dari awal. Ia akan mendatangkan kecederaan dan mengganggu persiapan pasukan.

"Kita duduk dengan pemain dan kita nampak beberapa kelemahan mereka. Pemain ada potensi cuma kita kena kerja keras untuk meningkatkan kualiti permainan,” katanya.

Untuk kejohanan tahun depan, PSM telah menyenaraikan 18 atlet lelaki dan 12 atlet wanita dalam skuad kebangsaan dan kesemua mereka akan melaporkan diri pada 2 Januari depan.

Kekosongan empat atlet lelaki masih terbuka dan akan dipilih serta dipantau selepas Kejohanan Sepaktakraw Kebangsaan Piala Emas Khir Johari Ke-57 di Alor Setar, Kedah Darul Aman pada 22 hingga 28 Januari depan.