BAGAN SERAI - Kementerian Pertahanan diminta melaksanakan segera penyelarasan semula nilai elaun pencen diterima pesara anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terdahulu dengan sekarang bagi mengelakkan perbezaan jurang kos sara hidup antara mereka.
Ketua cawangan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia(PVATM) cawangan Bagan Serai, Abu Hassan Bashri Abd Hamid berkata, permintaan itu dikemukakan susulan ramai pesara ATM terdahulu masih menerima elaun pencen sangat sedikit berbanding pesara ATM sekarang meskipun mempunyai pangkat sama.
"Begitu juga dengan pangkat mejar apabila pesara tentera di bawah skim gaji dahulu hanya menerima RM2,500 sebulan sebagai elaun pencen, sedangkan elaun pencen diterima pesara ATM berpangkat sama mencecah RM8,000 sebulan.
"Situasi sebegini harus diubah dan semua nilai pencen hendaklah diselaraskan di bawah satu skim sama memandangkan kerajaan pusat perlu sedar perjuangan anggota ATM pada zaman dahulu adalah lebih mencabar berbanding suasana perkhidmatan anggota tentera pada masa kini.
"Selain itu, peningkatan kos sara hidup luar biasa serta taraf ekonomi tidak menentu menyebabkan permintaan itu amat ditagih kesemua pesara ATM di bawah skim gaji terdahulu yang rata-rata merupakan rakyat golongan berpendapatan rendah,"katanya kepada media pada majlis dialog lebih 50 ahli PVATM cawangan Bagan Serai bersama Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran(JHEV) Cawangan Perak, Mejar Hassanuddin Othman di sini hari ini.
Abu Hassan berkata, selain tuntutan penyelarasan skim pencen pesara ATM, pihaknya turut memohon Kementerian Pertahanan meneruskan perlaksanaan program bina baharu dan baik pulih rumah pesara ATM di bawah Program Strategi Lautan Biru(NBOS) yang banyak memberi manfaat kepada mereka.
Menurutnya, di bawah program seliaan kementerian itu, mana-mana pesara ATM berkelayakan akan menerima bantuan bina baharu rumah bernilai RM56,000 di atas tanah milik mereka sendiri dan bantuan baik pulih rumah dengan nilai maksimum RM10,000.
"Tahun ini, di Parlimen Bagan Serai sahaja terdapat tiga rumah yang menerima bantuan bina baharu dan baik pulih rumah di bawah program itu.
"Projek itu amat bermanfaat kerana ramai pesara tentera di Perak masih terdiri golongan berpendapatan rendah dan memerlukan bantuan kerajaan untuk mengubah kehidupan mereka.
"Ketika ini, pihak kami difahamkan projek itu ditangguhkan oleh kerajaan baharu dan kami meminta ianya diteruskan semula oleh kerajaan sedia ada bagi memastikan nasib pesara tentera di seluruh negara terus terbela," katanya.
Sementara itu, Hassanuddin sewaktu ditemui berkata, kerajaan pusat sudah memperuntukkan RM98 juta kepada JHEV di seluruh negara pada tahun hadapan untuk memastikan hal kebajikan golongan pesara ATM terus terbela.
Menurutnya, keseluruhan peruntukan itu akan diagihkan kepada pesara ATM berkelayakan melalui lima skim kebajikan ditetapkan jabatan itu iaitu skim bantuan sara hidup, bantuan bencana, bantuan peralatan sokongan perubatan, bantuan persekolahan anak pesara ATM di peringkat rendah dan menengah serta bantuan pendidikan anak pesara ATM peringkat ijazah dan diploma.