SHAH ALAM - Jumlah mangsa banjir di empat negeri mencatatkan penurunan kepada 6,865 orang di 30 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 12 tengahari ini berbanding 9,690 orang di 37 PPS pagi tadi.
Laporan terkini dari Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) memaklumkan, Kelantan kekal mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu seramai 6,684 orang yang ditempatkan di 24 PPS di empat daerah.
Menurut kenyataan tersebut, PPS berkenaan merangkumi 10 di Pasir Mas, menempatkan 3,916 orang manakala sembilan di Tumpat (2,278 orang), tiga di Kuala Krai (62 orang) dan dua di Jeli (428 orang).
Bencana banjir di Kelantan itu turut merekodkan tiga kematian melibatkan daerah Kota Bharu dan Pasir Mas.
Selain itu, di Johor, jumlah mangsa banjir tidak berubah dengan 54 orang masih ditempatkan di dua PPS daerah segamat.
Bagi Terengganu, jumlah mangsa banjir berkurang kepada enam orang di satu PPS Kuala Terengganu berbanding 118 orang yang berlindung di tiga PPS pada pagi tadi.
Dalam pada itu, Pahang mencatatkan penurunan jumlah mangsa banjir kepada 34 orang di dua PPS di kawasan Maran manakala, 87 mangsa insiden tanah runtuh di Cameron Highlands masih berada di sebuah PPS yang dibuka di daerah berkenaan.
Sementara itu, bagi tinjauan situasi status Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran, empat sungai dicatatkan berada pada paras bahaya setakat tengah hari ini iaitu Sungai Pulai di Johor Bahru, Sungai Golok di Pasir Mas, Sungai Perak di Hulu Perak dan Sungai Arau di Arau.
Laporan berkenaan turut menyebut terdapat 34 jalan yang ditutup akibat insiden banjir, jambatan rosak/runtuh dan tanah runtuh.
Antaranya Jalan Bukit Besi - Dungun, Jalan Belimbing - Sri Makmur, Jalan Tepus - Kuala Jengal, Jalan Kg Bukit - Alur Lik, Jalan Dari Simpang Tiga Sg Pahi ke Simpang Tiga Kg Peria, Jalan Temerloh - Jerantut, Jalan Pekan Sehari Kg Awah, Jalan Serengkam, Jalan Kuala Wau - Kertau, Maran.