PAPAR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bakal melaksanakan satu kaedah pemantauan melalui sistem bagi membanteras aktiviti penyelewengan dan ketirisan diesel di Sabah.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali menegaskan tahun 2024 merupakan tahun penguatkuasaan bagi KPDN selaras dengan dasar kerajaan yang akan melakukan penyasaran subsidi bermula tahun hadapan.
Menurutnya, Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 melalui mekanisme 'fleet card' yang diperkenalkan KPDN hanya digunakan di Semenanjung untuk memantau ke mana diesel bersubsidi itu disalurkan.
"Di Sabah kita perlu ada mekanisme kawalan yang khusus sebab di Sabah tahun depan pengguna-pengguna kita masih boleh mendapat subsidi diesel di stesen-stesen minyak sebab itu kita belum melaksanakan pengawalan itu (SKDS).
"Jadi kita akan buat mekanisme kawalan khusus untuk Sabah untuk mengurangkan ketirisan sebagai kaedah kebertanggungjawab di peringkat stesen-stesen minyak di negeri ini," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Fun Hike Keluarga Samat 2023, di Bukit Bendera, di sini pada Ahad.
Beliau berkata demikian ketika ditanya kaedah mengekang aktiviti penyeludupan diesel yang masih berlaku di Sabah khususnya di kawasan sempadan membabitkan daerah Tawau dan Semporna.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Papar itu turut memberi amaran kepada pihak tidak bertanggungjawab melakukan aktiviti penyelewengan sehingga menyebabkan ketirisan bahan api bersubsidi kepada rakyat di negeri ini.
"Saya ingin memberikan nasihat kepada mereka yang terlibat dalam penyeludupan, dalam penyelewengan bolehlah memulakan perniagaan baharu yang lebih berkat.
"Kerana penyeludupan dan penyelewengan ini bagi saya adalah satu bentuk sabotaj kepada dasar kerajaan untuk memberi subsidi dan perlindungan kepada rakyat yang memerlukan.
"Jadi saya mengharapkan mereka menghentikan tindakan ini. Kita memantau, kita akan membuat penguatkuasaan besar-besaran tahun 2024, carilah rezeki yang lebih berkat tahun depan," katanya.