PELARI separuh marathon, G Vimal, 29, muncul juara kategori elit lelaki 5000 meter (m) (Jemputan) Run The Track yang diadakan di Kompleks Sukan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Seksyen 15, Bangi pada malam Sabtu.
Larian tersebut ternyata menguji kemampuan fizikal dan strategi para peserta terutama dalam keadaan hujan dan trek basah.
Vimal berkata, perlumbaan trek pada waktu malam sesuatu yang 'rare' kerana tidak banyak pihak menganjurkan acara seperti itu.
"Perlumbaan trek ini memang menyeronokkan, tidak begitu letih berbanding perlumbaan pada waktu petang yang panas.
"Cabaran larian trek ini berbanding separuh marathon, kita kena rangka strategi yang betul. Mental juga kena kuat sebab lari di trek, kelajuan larian adalah tinggi, jadi cepat penat," katanya kepada Sinar Harian.
Pelari berasal dari Taiping, Perak itu menyertai Run The Track untuk mencatatkan masa peribadi terbaik selain sebagai persediaan untuk menyertai lebih banyak kejohanan larian pada tahun depan termasuk Sukan SEA 2025.
Bagi kategori elit 5000m (Jemputan) wanita pula dimenangi Chooi Fern, 30, yang mencatatkan masa 20 minit.
"Larian trek ini begitu sukar, 'pace' larian kena betul, kalau tidak cepat penat.
"Saya juga kena simpan tenaga sebelum memecut pada pusingan terakhir," katanya yang merupakan ahli kelab Little Grappy Running.
Ditanya mengenai penganjuran Run The Track, atlet berasal dari Kuala Lumpur itu menyokong agar lebih banyak acara sedemikian dilakukan kerana ia bagus untuk melahirkan bakat-bakat baharu dalam acara larian.
"Sambutan acara ini begitu meriah. Saya tidak rasa sebarang tekanan ketika berlari malah sokongan penonton yang ramai memberi semangat kepada saya untuk melakukan yang terbaik," katanya.
Dalam pada itu, jurucakap penganjur BukanRunClub, Mohd Ikmalul Imtihan Zainal Abidin berkata, usaha itu secara tidak langsung bertujuan mempromosi larian trek kepada komuniti dan kelab-kelab larian di negara ini.
Menurutnya, walaupun baru pertama kali dianjurkan, sambutan amat menggalakkan daripada anggota komuniti dan kelab-kelab dari seluruh negara seperti Johor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Perak.
Jelasnya, inisiatif acara tersebut adalah untuk mengangkat larian trek supaya dapat memberi pendedahan dan menari penyertaan dari kelab-kelab dan komuniti larian yang semakin berkembang.
"Saya melihat banyak bakat baharu dalam acara larian trek ini. Ia satu pendedahan yang bagus tidak kira kepada bakat baharu atau pelari sedia ada.
"Larian trek memberi cabaran berbeza berbanding larian jarak jauh seperti marathon. Peserta kerana rangka strategi dan 'pace' yang betul dan tidak boleh terus pecut," katanya.
Mohd Ikmalul Imtihan berharap dan merancang untuk menganjurkan acara trek tersebut sekurang-kurang dua kali setahun dengan sasaran permulaan diadakan di sekitar Lembah Klang.
Kejohanan tersebut anjuran BukanRunClub dengan kerjasama Working Class Champs dan The Running Saga.
Ia juga mendapat kerjasama Pejabat Belia dan Sukan Daerah Hulu Langat dan Majlis Belia Daerah Hulu Langat.
Tambahnya, pihaknya juga berbangga kerana Dirigo Events iaitu penganjur acara marathon terbesar Malaysia iaitu Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon menjadi penyokong utama program ini.
"Kami juga mendapat sokongan penaja-penaja kategori iaitu Finisher Stroke, Lai Coffee, BeetBeetRoot, Sports Cardio Malaysia dan Team Purpose selain penaja produk antaranya Oakley, Oatside dan Kahf,” katanya.