JELI - Seorang warga emas, Minah Omar, 85, bimbang memikirkan keadaan rumah kayu usangnya yang ditenggelami banjir di Kampung Jeli Bawah, Pekan Jeli Lama di sini, sejak Jumaat lalu.
Minah berkata, kediaman itu terletak berhampiran sungai Pergau yang berarus deras kerana hujan lebat pada Monsun Timur Laut (MTL) menyebabkan ia tenggelam pada paras hingga dua meter.
"Rumah ini milik seseorang yang ditumpangkan kepada saya dan suami (Omar Salleh, 96,) keadaan lantainya sudah tidak kukuh.
Menurut Minah, mereka diselamatkan oleh pasukan keselamatan menggunakan bot untuk keluar dari kawasan kampung ketika sungai melimpah dengan keadaan arus deras pada Jumaat lalu sebelum ditempatkan di PPS terbabit.
"Kami menghadapi banjir ini tiap-tiap tahun sejak tinggal di rumah itu selama tiga tahun lalu.
"Keadaan sangat sukar kerana suami saya sudah kurang pendengaran dan tidak boleh berjalan kerana uzur serta menggunakan tongkat selain hanya mengesot untuk bergerak,” katanya.
Ujar wanita itu, keadaan air di kawasan kampung itu dikhabarkan sudah sedikit surut namun dia masih belum dapat melihat keadaan terkini kerana tidak mempunyai pengangkutan.
"Kami hanya menunggu sahaja pihak yang akan datang membantu kami untuk pulang jika keadaan sudah pulih.
"Sebelum ini pun, kami banyak dibantu jiran-jiran selain menerima bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat RM500 setiap bulan untuk meneruskan kehidupan,” katanya.