PAPAR - Orang ramai digesa untuk membuat pendaftaran Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang akan dilancarkan Perdana Menteri pada 2 Januari ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kerajaan Persekutuan komited untuk melaksanakan dasar subsidi bersasar yang akan hadir bersama jaminan bantuan sosial termasuk bantuan tunai subsidi bersasar.
Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar menjelaskan dasar subsidi bersasar tidak bermaksud bahawa subsidi akan ditarik sepenuhnya, sebaliknya ia melibatkan reformasi dalam pemberian subsidi dan bantuan sosial kepada rakyat.
"Teras kepada pelaksanaan dasar subsidi bersasar dan reformasi bantuan sosial adalah PADU.
"Jadi saya menggesa semua rakyat untuk membuat pendaftaran sistem PADU yang akan dilancarkan oleh Perdana Menteri pada 2 Januari 2024 dan sekali gus membuat verifikasi maklumat profil individu dan isi rumah.
"Kerajaan akan membuka ruang selama tiga bulan sehingga 31 Mac 2024 untuk memberi ruang seluas-luasnya kepada rakyat," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Fun Hike Keluarga Samat 2023, di Bukit Bendera, di sini pada Ahad.
Beliau dalam pada itu turut menggesa semua pihak memberikan kerjasama bukan saja agensi Persekutuan tetapi kerajaan negeri sehingga ke peringkat daerah dan kampung.
"Kerajaan juga akan membuka ruang pendaftaran secara dalam talian dan juga manual untuk membolehkan masyarakat di luar dan pedalaman tidak akan tercicir.
"Jadi semua Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Ketua Kampung diminta memastikan komuniti di kawasan masing-masing tidak tercicir," katanya.
Sehubungan itu, Armizan berkata, KPDN komited untuk membantu kerajaan melaksanakan agenda subsidi bersasar dengan komitmen bahawa dasar ini akan hadir bersama jaminan bantuan sosial kepada rakyat yang memerlukan.
"Bentuk dan jumlah bantuan sosial bukan hanya akan melibatkan aspek pendapatan, tetapi juga jumlah komitmen tanggungan.
"Ini penting untuk menangani isu berbangkit berkaitan kos sara hidup. Pertimbangan dan penentuan jumlah bantuan sosial ini akan berpandukan kepada data PADU," katanya.
Ditanya jaminan kerajaan dari segi keselamatan PADU, beliau memaklumkan bahawa sistem itu sudah wujud dan sudah tentu kerajaan akan berusaha meningkatkan tahap keselamatan sistem tersebut.
"Saya fikir rakyat perlu ada keyakinan contohnya sistem ini tidak diintegrasi dengan akaun bank iaitu dalam konteks pihak lain boleh akses kepada akaun pengguna. Jangan risau kecuali kamu pilih untuk klik scam," katanya.