JEMPOL - Tindakan tiga remaja lelaki menunggang motosikal dengan aksi ‘Superman’ dan bersaing sesama sendiri sejauh sembilan kilometer bermula dari Jalan Bahau-Kemayan di sini mengundang padah apabila mereka ditahan pada Sabtu.
Kesemua mereka berusia 18 tahun ditahan dalam operasi Op Samseng Jalanan dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPTD) IPD Jempol.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, operasi yang bermula pada jam 9 malam itu telah dijalankan di sekitar Jempol.
"Objektif operasi bertujuan untuk mencegah aktiviti samseng jalanan seperti lumba haram, menunggang secara melulu dan merbahaya yang boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan juga pengguna jalan raya yang lain.
"Selain itu, operasi ini untuk memastikan kumpulan motosikal mematuhi peraturan jalan raya yang telah ditetapkan serta bagi mengurangkan risiko kemalangan jalan raya," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Ujarnya, hasil operasi tersebut, polis telah berjaya menahan tiga remaja lelaki yang melakukan aksi meniarap di atas tempat duduk dengan kaki lurus ke belakang (superman), menduga kelajuan dan bersaing sesama sendiri.
Tambahnya, mereka bermula dari Kilometer 10 Jalan Bahau-Kemayan menghala ke arah Mahsan dan kemudiannya berpatah balik ke arah Bandar Seri Jempol sehingga sejauh lebih kurang sembilan kilometer.
"Suspek telah ditahan dan dibawa ke IPD Jempol untuk siasatan lanjut. Mereka telah direman empat hari bermula pada Ahad.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 42 (1) APJ 1987 kerana menunggang secara melulu dan merbahaya," katanya.
Sehubungan itu katanya, ibu bapa dinasihatkan sentiasa memantau pergerakan anak-anak yang menggunakan motosikal.
Jelasnya, ia terutamanya bagi mereka yang sering mengubah suai motosikal dan tidak mematuhi spesifikasi yang telah ditetapkan.