KOTA BHARU - Bencana banjir di Kelantan mendapat perhatian pertubuhan bukan kerajaan, Food Aid Foundation yang turut memasak untuk 600 keluarga membabitkan lapan kampung di tiga daerah di negeri ini.
Pengarahnya, Khairulbariah Dzun Nurin berkata, pertubuhan itu memperuntukkan kira-kira RM10,000 untuk menyediakan makanan kepada mangsa banjir selama tiga hari yang berakhir Ahad.
Menurut beliau, setiap hari mereka akan mengagihkan 100 bungkusan yang mengandungi barangan keperluan harian termasuk gula, tepung dan bihun.
"Kita akan masukkan bersama dua pek nasi goreng berlauk cendawan dan telur goreng untuk dinikmati oleh mangsa banjir sekali gus dapat membantu mengurangkan beban dan lelah mereka sepanjang menghadapi bencana," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Khairulbariah memberitahu, seramai 20 sukarelawan termasuk 13 dari Kuala Lumpur yang hadir khusus untuk membantu membungkus makanan dan menyediakan keperluan mangsa.
"Kami ada sebuah pusat khas di Jalan Hospital di sini yang dilengkapi dapur serta peralatan memasak dengan membabitkan 1,000 orang pada satu masa.
"Setiap hari kami bermula awal pagi bergotong-royong menyediakan bahan-bahan memasak dan biasanya siap kira-kira jam 11 pagi untuk dihantar kepada mangsa banjir," katanya.
Tambah beliau lagi, pertubuhan itu menerima dana daripada institusi kewangan dan syarikat korporat serta individu yang menyokong kesungguhan serta inisiatif yang dilaksanakan bagi membantu golongan memerlukan.
"Selain mangsa banjir, kita tetap beroperasi setiap hari untuk golongan yang memerlukan kerana ada yang datang mengambil makanan serta keperluan harian.
"Kami menerima ramai golongan yang memerlukan ketika negara diserang pandemik Covid-19 dan ia antara usaha untuk berkongsi rezeki bersama mereka," katanya.