BEKAS atlet profesional, Azmeer Yusof berkongsi pengembaraan kehidupan pemain bola sepak sebenarnya bermula apabila mereka membuat keputusan untuk menggantung but.
Beliau yang pernah beraksi bersama Kedah memberitahu, ketika masih aktif sebagai pemain, mereka menerima gaji lumayan mencecah puluhan ribu setiap bulan.
Namun katanya, selepas meninggalkan karier itu kerana bersara pendapatan mewah itu amat sulit untuk diperoleh.
"Kehidupan sebenar pemain berlangsung setelah bersara dari bola sepak profesional. Sewaktu bermain, kita terima gaji puluhan ribu.
"Selepas bermain, amat sukar untuk menerima gaji puluhan ribu lagi," katanya menerusi catatan di Facebook pada Sabtu.
Baru-baru ini, penyerang veteran, Amri Yahyah mengumumkan persaraan setelah 22 tahun bergelar pemain profesional dan 17 Disember lalu menjadi aksi terakhirnya dalam kancah Liga Super ketika Sabah FC menentang Kedah Darul Aman di Likas.
Azmeer menjelaskan bekas pemain akan berdepan ujian sebenar kehidupan dengan pelbagai komitmen kewangan yang perlu dipenuhi pada setiap bulan.
"Sewaktu inilah kita diuji untuk bayar rumah. Kita diuji untuk bayar kereta dan bagi nafkah. Ketika inilah kita diuji untuk bayar yuran sekolah dan diuji dengan pelbagai masalah lain," katanya.
Justeru menurut pemain pertahanan itu, andai tiada perancangan selepas bersara, mereka bakal berdepan situasi mencabar termasuk berisiko untuk kecundang.
"In fact, rumah tangga kita akan bergoyang, for sure. Jadi perancangan sewaktu bermain dan selepas bermain amat penting kerana bola sepak tiada pencen.
"Tahniah kepada pemain-pemain yang bersara tahun ini dengan penuh perancangan yang mendatang. Tahniah kepada mereka yang bersara dengan adanya cash money ratusan ribu.
"So korang yang bersara, kehidupan sebenar akan bermula. Good Luck!," katanya.
Azmeer pada Disember 2020 ketika beraksi bersama Kedah mengumumkan persaraan sebagai pemain bola sepak profesional kerana ingin menumpukan perhatian pada bidang perniagaan dan pembinaan pusat pengajian al-Quran di kampungnya di Kedah.
Namun setahun kemudian kembali ke padang apabila mengikat kontrak bersama kelab Liga M3, Budak Rumah Murah (BRMFC).
Bagaimanapun pada April 2022 beliau mengambil keputusan meninggalkan pasukan itu kerana ada komitmen peribadi yang tidak dapat dielakkan.