Tangani jurang kemenjadian murid

Iklan
Fadhlina (duduk, kiri) menerusi KPM cuba sedaya upaya memberi akses setara kepada semua murid seluruh negara.

SHAH ALAM - Sejumlah bantuan persekolahan bagi tahun 2024 telah ditingkatkan secara signifikan dalam usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merapatkan jurang kemenjadian murid.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, selain menyediakan persekitaran dan infrastruktur pembelajaran kondusif di sekolah, KPM di bawah Kerajaan Perpaduan menambah beberapa lagi inisiatif agar jurang yang ketara di bandar dan pedalaman dapat dikecilkan.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, antara bantuan itu adalah elaun murid berkeperluan khas meningkat sebanyak RM17.7 juta, bantuan makanan asrama sebanyak RM320 juta bertambah 20 peratus, bantuan prasekolah sejumlah RM42 juta (meningkat 48 peratus) dan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) membabitkan RM338 juta yang turut naik sebanyak 75 peratus.

"KPM sentiasa beriltizam menangani isu jurang kemenjadian murid yang berlaku di kawasan pedalaman dan bandar.

Iklan

"Untuk tahun 2024 ini, KPM ada sejumlah bantuan kepada murid ataupun pelajar yang betul-betul memerlukan. Ia membabitkan murid berkeperluan khas, bantuan makanan asrama dan prasekolah serta BAP.

"Insya-ALLAH, kita akan terus berusaha bagi memastikan landskap pendidikan negara menjadi sebuah ekosistem harmoni dan mendukung konsep manusiawi,” kata beliau secara eksklusif kepada Sinar Bestari pada Sabtu.

Iklan

Sementara itu, Fadhlina berkata, KPM juga masih meneruskan agenda berkaitan pembangunan sekolah daif menjadi salah satu daripada Tujuh Teras Utama KPM.

"Justeru, KPM akan terus memberi keutamaan dalam usaha menangani sekolah yang mempunyai bangunan daif di seluruh negara terutama di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau memaklumkan, jurang digital juga menjadi perhatian KPM.

"Saya melihat aspek tersebut rentetan tempoh pandemik pada tahun 2020 hingga 2021 lalu, sejumlah 80.4 peratus murid mengalami masalah akses internet dan 60 peratus lagi gagal memperoleh peranti digital untuk pembelajaran. Ia adalah situasi yang menyedihkan,” tegasnya.

Oleh itu katanya, Dasar Pendidikan Digital telah pun dilancarkan pada November lalu bagi menyediakan akses kepada murid seluruh negara.

"Saya berharap usaha ini diberikan perhatian dan tindakan segera secara bersama bagi mencapai hasil yang positif,” kata beliau.

Fadhlina mengakui akses pendidikan kepada kumpulan rentan masih berada dalam radar KPM dengan pendidikan yang disediakan wajib memberi ruang dan peluang kepada semua.

"Pada tahun 2023, kita telah menambah bilangan prasekolah KPM, sekolah model khas komprehensif K9 dan K11 untuk masyarakat peribumi dan Orang Asli,” katanya.

Beliau juga berkata, banyak lagi usaha dan inisiatif yang telah dan akan dilaksanakan oleh KPM termasuk peruntukan bantuan Rancangan Makanan Tambahan (RMT), memanfaatkan lebih 762,000 kanak-kanak di bawah Paras Garis Kemiskinan yang rata-rata berada di luar bandar termasuk pedalaman.