"RUMAH di tepi pantai bukan lagi mimpi”.
Iklan kontroversi oleh pemaju, Harey Zahav yang membina penempatan haram Israel pada pertengahan Disember lalu sebagai cubaan menarik minat bekas pendatang Yahudi yang pernah menetap di Genting Gaza untuk kembali semula ke wilayah itu selepas perang tamat.
"Kempen itu menyatakan hasrat untuk kembali semula ke Gaza, namun kami tiada lagi projek dalam perancangan,” kata pemilik syarikat itu, Zeev Epstein yang turut terlibat pembinaan penempatan haram di Tebing Barat tanpa kelulusan pemerintah Israel.
Epstein mengeluarkan kenyataan itu ketika kemarahan penduduk Palestin memuncak tentang pelan untuk membina kediaman di tepi pantai di atas tapak runtuhan rumah dibedil di Genting Gaza.
Sebelum ini, tiada rancangan untuk memindahkan semula pendatang Yahudi ke wilayah tersebut yang kini dihujani bom tanpa henti sejak 7 Oktober lalu.
Namun, ahli Parlimen, Zvika Foghel mencadangkan Israel perlu mengambil alih kawalan bahagian utara Sungai Gaza dan membina penempatan baharu Yahudi di situ.
Angan-angan kosong
Bagi Hannah Picard, 66, yang pernah menetap di Genting Gaza selama 16 tahun, beliau menyifatkan peperangan di Gaza sebagai ‘permulaan’ untuk kepulangannya ke wilayah itu.
"Sudah jelas bahawa kami akan kembali kerana ia adalah ‘rumah’ kami. Rumah di tepi laut di tengah Gaza seperti berada di syurga,” katanya tanpa rasa bersalah ketika ditemu bual di kediaman sementaranya di Baitulmaqdis.
Sementara itu, Oded Mizrahi yang bertugas di Muzium Gush Katif di Baitulmaqdis juga yakin dapat pulang ke Gaza tidak lama lagi.
"Kami tidak tahu bagaimana proses itu. Tetapi, semua orang tahu Hamas tidak boleh menguasai Gaza. Kami tiada pilihan selain mentadbir sendiri wilayah tersebut,” ujarnya.
Sehingga kini, Israel masih berteka-teki tentang masa depan Gaza walaupun sekutunya, Amerika Syarikat (AS) menegaskan, keputusan itu perlu dibuat sendiri oleh penduduk Palestin.
"Memang tidak masuk akal bagi rejim Tel Aviv menduduki semula Gaza untuk tempoh jangka panjang. Kawalan dan pentadbiran wilayah itu sepatutnya beralih kepada penduduk Palestin,” ujar Penasihat Agensi Keselamatan Negara, Jake Sullivan.
Komuniti Yahudi kini merencanakan kepulangan mereka ke Genting Gaza selepas tempoh 18 tahun dan menggunakan pameran foto, peta dan pelbagai objek di Muzium Gush Katif untuk merealisasikan angan-angan kosong serta rancangan jahat tersebut.
Malah, kemeja-T tertera dengan tulisan ‘kami akan pulang’ turut dijual dengan harga 35 shekel (RM44).
"Orang ramai terutamanya generasi muda mahu belajar kisah ini yang turut dipaparkan di media,” kata Mizrahi dengan angkuh. - AFP