PENTAS Piala Asia Qatar 2023 di Doha yang akan membuka tirainya pada 13 Januari ini menjadi ujian sebenar buat jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon untuk mencorak taktikal ampuh berdepan pasukan terbaik Asia terutama Korea Selatan.
Penganalisis sukan, Azlan Johar berkata, meskipun Pan-gon sudah melepasi ujian Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 serta aksi persahabatan, namun saingan di Qatar lebih mencabar dan menuntut corak permainan yang lebih jitu.
Beliau berkata, ujian yang sama turut digalas oleh para pemain yang perlu membuktikan sebarang taktikal yang dirancang jurulatih dipraktis dengan cantik dan tersusun ketika beraksi.
"Pan-gon sudah pasti tahu apa taktikal yang sesuai. Kelebihan juga buat Pan-gon yang kenal ramai pemain Korea Selatan dan tahu corak permainan mereka.
"Ini ujian sebenar Pan-gon dan para pemain. Selama ini dia sudah meningkatkan prestasi pemain menerusi corak permainan menakjubkan.
"Malah Pan-gon juga bernasib baik kerana ketika dia mengambil alih tugas jurulatih, ramai pemain naturalisasi berbanding pengendali sebelum ini.
"Biarpun bukan bertaraf dunia, namun mereka mempunyai skil berbeza dan memiliki asas bola sepak yang lebih baik berbanding pemain tempatan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.
Skuad negara yang dijadual berlepas ke Doha pada Isnin akan memulakan saingan Kumpulan E bertemu Jordan pada 15 Januari sebelum menentang Bahrain (20 Januari) dan membuat perhitungan dengan Korea Selatan pada 25 Januari.
Azlan juga percaya Pan-gon sudah mencongak taktikal sesuai untuk 'dihidangkan' dalam kejohanan tersebut untuk meraih keputusan positif dan pergi sejauh mungkin.
Beliau berkata, pemain profesional bertaraf dunia termasuk skuad negara sudah memahami corak intensiti tinggi, namun persoalan yang perlu difikirkan ialah bila taktikal itu sesuai dipraktikkan.
"Andai buat corak permainan terbuka, ia satu kesilapan dan boleh mengundang bencana. Takkan kita mahu bertahan selama 90 minit permainan.
"Jadi kepantasan tinggi ketika mengatur gerak perlu dibuat dengan teliti. Nak bermula dari mana (posisi), bila nak buat high pressing, pada awal permainan di pertengahan aksi atau bila masa yang sesuai.
"Saya pasti Pan-gon tahu perkara itu. Pemain perlu pantas pantas dengan corak high pressing. Kalau penyerang lambat bergerak, pertahanan kena segera bantu naik ke atas. Tidak boleh tunggu, perlu cepat berfikir dan buat keputusan,” katanya.
Dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, Malaysia bangkit menewaskan Kyrgyzstan 4-3 dalam aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil pertengahan bulan lepas dan menang tipis 1-0 ke atas Taiwan di Taipei.
Kali terakhir Malaysia beraksi di Piala Asia ialah ketika menjadi tuan rumah bersama edisi 2007 selepas dua penampilan iaitu pada 1976 di Iran dan 1980 di Kuwait.