KUALA LUMPUR - Jumlah mangsa banjir di tiga negeri terus mencatatkan trend penurunan kepada 1,483 orang di 15 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 6 pagi tadi berbanding 1,675 orang di 16 PPS malam tadi.
Berdasarkan laporan terkini kejadian bencana di seluruh negara yang dikeluarkan Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), jumlah mangsa banjir di Kelantan terus berkurangan kepada 1,395 orang di 11 PPS pagi ini, berbanding 1,587 orang di 12 PPS malam tadi.
Menurut laporan itu, PPS di Kelantan merangkumi lapan di Tumpat yang menempatkan 1,045 orang, dua di Pasir Mas (334 orang) dan satu di Kuala Krai (16 orang).
Di Pahang, bilangan mangsa banjir kekal 34 orang berlindung di dua PPS di Maran, manakala 87 mangsa insiden tanah runtuh di Cameron Highlands turut kekal berada di sebuah PPS yang dibuka di daerah itu.
Jumlah mangsa banjir di Johor juga tidak berubah dengan 54 orang masih berada di dua PPS di Segamat pagi ini.
Sementara itu, tinjauan situasi status Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati lima sungai berada pada paras bahaya.
Sungai Pulai di Johor Bahru, Johor merekodkan 4.55 meter (m) dengan trend menurun, Sungai Golok di Pasir Mas, Kelantan (9.42 m dengan trend menurun), Sungai Perak di Hulu Perak, Perak (111.93 m dengan trend tidak berubah), Sungai Arau di Arau, Perlis (24.32 m dengan trend meningkat) dan Sungai Padas di Tenom, Sabah (197.02 m dengan trend meningkat).
Laporan itu juga menyatakan terdapat 36 jalan ditutup akibat bencana banjir, jambatan rosak atau runtuh dan tanah runtuh.
Jalan terlibat antaranya termasuklah Jalan Jabi-Bukit Tempurung, Segamat di Johor, Jalan Sungai Sok-Chucuh Puteri, Kuala Krai di Kelantan, Jalan Marang-Wakaf Tapai (Terengganu) dan Jalan Kuala Lumpur-Bentong (Jalan Lama Bentong) di Pahang serta Jalan Bukit Jugra di Selangor. - Bernama