KEHADIRAN pasukan bola sepak negara dalam temasya Piala Asia Qatar 2023 tahun ini disifatkan bukan sekadar pelengkap perlawanan.
Itu laungan pemain lincah negara Faisal Halim yang tidak mahu Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon tersebut dilabel pasukan pelengkap kuota Kumpulan E yang menyingkap tirai 15 Januari ini.
"Ya, syukur alhamdulillah semua dalam keadaan baik dan pemain-pemain pula bersemangat untuk mengharungi kempen Piala Asia kerana ini peluang terbesar untuk pasukan kebangsaan.
"Kita pergi ke sana bukan hanya untuk melengkapkan kuota tapi sebaliknya bagi memberikan saingan kepada pasukan lain," kata pemain Selangor FC yang berusia 25 tahun itu kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Ahad.
Ya, setiap pasukan lawan sudah tentu memiliki analisis terhadap pemain tertentu semasa saingan liga atau perlawanan antarabangsa.
"Kita juga pun sama ada buat analisis terhadap pasukan lain yang akan diterjemahkan kedua-dua pasukan dalam 90 minit di Qatar.
"Kita pula sebagai pemain seharusnya perlu lebih bersedia mental dan fizikal bagi memberikan prestasi terbaik untuk pasukan," katanya.
Jelas pemain berusia 25 tahun itu lagi, pasukan juga akan menggunakan pendekatan satu perlawanan ke satu perlawanan di Qatar 2023.
"Pada pasukan, kita tidak perlu fikir terlalu jauh sebaliknya fokus menyelesaikan tugasan dari satu perlawanan ke satu perlawanan lain.
"Paling penting perlawanan pertama yang akan menjadi turning point kita, sekiranya mendapat keputusan baik atau tiga mata itu keputusan motivasi untuk berdepan Bahrain perlawanan seterusnya," katanya.
Dalam pada itu, bekas pemain Terengganu FC itu menyifatkan edisi ke-18 temasya sukan bola sepak terbesar benua Asia tersebut bukan pentas mengembangkan karier diri yang menjadi keutamaan.
Sebaliknya kata Mickey, kejuaraan yang menyingkap tirai dari 12 hingga 10 Februari itu merupakan pentas menaikkan semula imej bola sepak negara.
"Pada saya ini bukan masa untuk mengembangkan karier di sini, tapi masa terbaik membuat satu rekod untuk pasukan kebangsaan.
"Kita sudah 42 tahun tidak layak tapi sekiranya kali ini layak ke pusingan seterusnya itu satu pencapaian terbaik untuk pasukan kebangsaan di pentas tertinggi.
" Ya, ini bukan tugasan mudah untuk kami sebagai pemain. Namun kita telah dipilih untuk berjuang bagi pasukan negara, jadi kami sahut cabaran," katanya.
INFO
Piala Asia Qatar 2023
Kumpulan E
Ranking Dunia
Korea Selatan (23)
Bahrain (86)
Jordan (87)
Malaysia (130)