BATU PAHAT - Hujan renyai tidak menghalang lebih 5,000 orang hadir menyertai Batu Pahat Berselawat di Parit Sulong sempena ambang Tahun Baharu 2024, pada malam Ahad.
Program yang berlangsung di Masjid Jamek Taman Sri Sulung, bermula jam 7 petang dengan pelbagai aktiviti seperti qasidah, solat berjemaah dan nasyid.
Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, sambutan diberikan terhadap program kali ini, luar biasa walaupun dianjurkan di luar kawasan bandar di Batu Pahat.
"Biasanya program seumpama ini dianjurkan di Dataran Penggaram. Namun kali ini, ia dibawa ke kawasan kampung di mana Taman Sri Sulung menjadi pilihan kerana sesuai bukan sahaja terdapat taman perumahan tetapi juga kampung-kampung.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah itu menambah, Batu Pahat Berselawat disertai pelbagai peringkat usia, malah dihadiri oleh ramai anak muda.
Kita mahu menukar cara kita menyambut ambang tahun baru, kepada program keagamaan, sebagai tanda terima kasih kepada Allah yang melimpahkan pelbagai rezeki di negeri bertuah ini.
"Kita mahu tukar cara sambut tahun baharu dengan majlis yang bercirikan keagamaan, sebagai tanda syukur atas rezeki yang diberikan kepada negeri ini.
"Selain itu, kita memohon agar kedamaian, keharmonian masyarakat dikekalkan dengan keselamatan rakyat terus terjaga," katanya.
_________________________________________________________________________________________________________________________________________________
Darulaman Berselawat pembuka tirai 2024
ALOR SETAR - Darulaman Berselawat membuka tirai tahun baharu sebagai menyambut kedatangan 2024 tanpa menyajikan konsert terbuka seperti lazimnya.
Exco Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan negeri, Mohd Azam Abd Samat berkata, sambutan tetap diraikan bersama rakyat Kedah dengan pendekatan lebih islamik selain penuh kesederhanaan.
Menurutnya, ambang tahun baharu disambut berbeza kali ini sebagai tanda solidariti ke atas rakyat Palestin susulan serangan berterusan ke atas negara itu.
"Sederhana namun meriah, inilah suasana Ambang Sejahtera 2024 peringkat negeri yang diadakan di Tasik Darulaman, Jitra bermula Jumaat sehingga 1 Januari (Isnin).
"Selaku kerajaan negeri yang prihatin, tahun baharu disambut dalam suasana sederhana mengenangkan saudara kita masih lagi ditindas di bumi Palestin," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Mohd Azam berkata, pengisian program Ambang Sejahtera 2024 kali ini lebih menitikberatkan pembinaan masyarakat berasaskan ilmu selain memastikan pengisian sesuai untuk seisi keluarga.
"Selain sambutan peringkat negeri di Tasik Darulaman, ia turut diadakan di beberapa tempat peringkat daerah.
**pullquote**
Menurutnya, beberapa pendakwah dan penceramah terkenal turut memeriahkan malam penutup, antaranya Ustaz Moqti Ahmad, Ustaz Wadi Anuar Ayub dan Pengerusi Yayasan Islam Kedah, Sheikh Mohamad Rodi Abdul Rahman yang akan menyampaikan tazkirah dan tausiyah, diselang selikan dengan alunan qasidah.
"Orang ramai dijemput memeriahkan malam penutup Ambang Sejahtera malam ini (Isnin) selepas ia diadakan selama empat hari dengan pelbagai acara.
"Malam sebelumnya diadakan Solidariti Anak Muda bersama Kedah Darul Aman (KDA) FC untuk Palestin, selain pengisian seperti himpunan motosikal anak muda, Kedah Kopi Fest dan Food Festival, forum perdana serta malam kesenian menampilkan pentomin ‘Perang Musuh Bisik’,” ujarnya.
Mohd Azam berkata, pelbagai acara diatur bagi membolehkan kerajaan negeri berkongsi wawasan, idea dan gagasan dalam membentuk generasi hebat ke arah merealisasikan ‘The Greater Kedah’.
"Generasi yang hebat adalah mereka yang berpengetahuan, berkemahiran dan mempunyai nilai-nilai yang akan membentuk asas kejayaan dalam menghadapi geo politik dunia yang kian berkecamuk.
"Ini merupakan antara langkah ke hadapan dalam menyediakan modal insan, lengkap dengan pakej nilai-nilai cemerlang bagi mengukuhkan kedudukan Kedah sebagai negeri dinamik serta berdaya saing,” katanya.
Menurutnya lagi, untuk memeriahkan sambutan, program tidak hanya bertumpu di Jitra, malah dianjurkan secara seimbang agar kemeriahan turut dirasai seluruh penduduk di negeri ini.
"Contohnya, turut diadakan program sempena 200 tahun bandar raya Alor Setar serentak di pekarangan Stadium Darul Aman anjuran Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), sebagai sebahagian kempen ‘Jom Singgah Alor Setar 2024’,” ujarnya.