Ratu Denmark Margrethe II umum turun takhta

Iklan
Ratu Margrethe II menyampaikan perutusan tahun baharu dan mengumumkan turun takhta daripada Istana Christian IX, Amalienborg Castle, di Copenhagen, 31 Disember 2023. - Reuters

RATU Denmark Margrethe II mengumumkan bakal menuruni takhta secara rasmi pada 14 Januari, selepas 52 tahun memerintah negara Nordik itu.

Baginda yang berusia 83 tahun merupakan pemerintah monarki paling lama di Eropah apabila mula menaiki takhta pada tahun 1972.

Iklan
Iklan

Baginda membuat pengumuman mengejut itu di televisyen secara langsung ketika menyampaikan perutusan tahun baharu 2024 kepada 5.9 juta penonton pada Ahad.

Keputusan itu diambil selepas mengambil kira pembedahan pada belakang yang dijalaninya pada awal tahun 2023.

Iklan

Baginda juga berkata, takhtanya akan digantikan oleh anak sulung baginda, Putera Mahkota Frederik.

Saya telah memutuskan bahawa sekarang adalah masa yang sesuai. Pada 14 Jan 2024 - 52 tahun selepas saya menggantikan ayahanda tercinta, saya akan berundur sebagai Ratu Denmark.

Iklan

"Saya menyerahkan takhta kepada anakanda saya, Putera Mahkota Frederik," ujarnya.

Margrethe II menjadi ratu paling lama berkhidmat di Eropah selepas kematian sepupunya, Ratu Elizabeth II. Manakala sejak Julai 2023, dia menjadi ratu paling lama dalam sejarah Denmark.

Dilahirkan pada tahun 1940 kepada bekas raja Denmark, Raja Frederik IX dan Ratu Ingrid, Margrethe sepanjang hidupnya menikmati sokongan kuat daripada Denmark, yang menggemari personalitinya sebagai pemerintah bijaksana dan kreatif.

Baginda juga terkenal kerana cintanya terhadap arkeologi dan telah mengambil bahagian dalam beberapa projek penggalian.

Margrethe II menjadi pewaris bapanya pada tahun 1953 pada usia 31 tahun, selepas pindaan perlembagaan membenarkan wanita mewarisi takhta.

Pada 1967, baginda berkahwin dengan pasangannya, diplomat dari Perancis Henri de Laborde de Monpezatb dan dikurniakan dua cahaya mata, Putera Mahkota Frederik dan Putera Joachim. - Awani