KANGAR - Dakwaan berlakunya gerakan terancang 'Langkah Dubai' untuk menjatuhkan kerajaan dilihat hanya untuk mewujudkan perpecahan dan ketakutan dalam kalangan rakyat.
Menurut Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim, kenyataan Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Ismail Yusop mengaitkan beberapa pemimpin Perikatan Nasional (PN) termasuk wakil tertentu kerajaan untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa bertujuan mengalihkan isu moral yang membelenggu J-KOM sebelum ini.
"Adakah Langkah Dubai itu ada? Ini kerana apa yang saya lihat dia (Ismail) sudah mewujudkan ketegangan sekarang ini dan ia satu perbuatan yang tidak cerdik.
"Dia sesuka hati menuduh orang tertentu sebagai penderhaka di samping menyeru polis untuk ambil tindakan.
"Yang menjadi penderhaka adalah pihak yang sengaja menggerakkan perpecahan dan ketakutan dalam kalangan rakyat kononnya ada gerakan yang mahu menjatuhkan kerajaan dan menuduh kami (PN) sebagai penderhaka,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Larian Ambang Tahun Baharu 2024 Sempena Tahun Melawat Perlis 2024-2025 di Denai Larian Pengkalan Asam pada malam Ahad.
Shahidan mengulas kenyataan Ismail yang mendedahkan wujud Langkah Dubai didakwa didalangi pemimpin parti pembangkang termasuk wakil tertentu kerajaan, dengan matlamat sama iaitu menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.
Sebelum ini, Ismail mendedahkan bahawa wujud Langkah Dubai sewaktu percutian pemimpin PN termasuk dari pihak kerajaan di ibu kota Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini.Dakwanya, pertemuan yang berlangsung itu adalah untuk berunding dan menetapkan tugas tertentu kepada 'pegawai' yang dipertanggungjawab mengenal pasti ahli Parlimen yang berpotensi beralih sokongan kepada pembangkang dengan sogokan, semata-mata mahu menubuhkan kerajaan 'tebuk atap'.
Dakwanya lagi, selain pemimpin PN, terdapat juga pembabitan tokoh politik veteran berpengaruh berpangkat Tun yang bersekongkol dengan pembangkang termasuk dikatakan menggunakan 'sumber asing' untuk menggulingkan pentadbiran diterajui Anwar.
Oleh demikian Shahidan menegaskan, satu laporan polis akan dibuat ke atas kenyataan tersebut kerana dilihat mampu mewujudkan ketegangan dan perpecahan rakyat negara ini.