Perangi doping habis-habisan!

Iklan
Laporan Khas mengenai isu doping yang disiarkan Sukan Sinar pada Rabu lalu.

"SELAGI isu pembasmian doping dalam sukan tidak diberi keutamaan secara lebih menyeluruh, lebih-lebih lagi aspek pencegahan dan penyiasatan, selagi itulah masalah pengambilan doping dalam kalangan atlet akan terus berlaku, tidak kira mereka itu berstatus senior atau junior.”

Demikian tegas bekas Pengarah Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS), Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz ketika mengulas isu doping yang masih membelenggu arena sukan tanah air sehingga kini.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, semua pihak berwajib dalam penguatkuasaan undang-undang di negara ini harus memainkan peranan bagi menangani isu doping yang sudah berlarutan sejak bertahun lamanya.

Menurutnya, ADAMAS perlu dipertingkatkan lagi keupayaannya melalui langkah-langkah yang sudah sekian lama tertangguh disebabkan faktor-faktor pentadbiran khususnya pemberian punca kuasa dan kelembapan proses yang lazim berlaku dalam usaha dan ikhtiar meliputi bidang-bidang teknikal.

Iklan

"Proses peningkatan dan pengupayaan ADAMAS yang merupakan paksi untuk usaha pihak bertanggungjawab seperti Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan agensi-agensinya, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan persatuan-persatuan sukan kebangsaan di bawah naungannya bagi menangani ancaman doping terhadap kewibawaan serta integriti sukan berprestasi tinggi.

"Ini mempunyai kepentingan yang tertinggi, bukan sahaja terhadap sukan prestasi tinggi, tetapi juga kepada sukan untuk semua dan aktiviti rekreasi. Malah, ia boleh membahayakan kesihatan umum apabila gejala doping ini gagal dibendung sehingga menodai anak-anak muda yang cenderung mengambil jalan pintas untuk berjaya tanpa daya usaha setimpal dalam proses latihan yang sahih.

Iklan

"Kita harus akui setiap tahun ada sahaja kita dengar atlet yang berdepan dengan isu doping. Malaysia telah menandatangi instrumen ratifikasi UNESCO International Convention Against Doping in Sports pada 28 November 2006 dan Kod Anti-Doping Dunia (WADC) di bawah kelolaan Agensi Anti-Doping Dunia (WADA),” katanya ketika membuka bicara kepada Sukan Sinar pada Sabtu.

Perkukuh ADAMAS

Asas penting untuk ADAMAS diperkukuh dan ditingkatkan keupayaannya disebabkan kedua-dua instrumen tersebut adalah treaty atau perjanjian tahap negara yang perlu diakur dan dibangunkan mengikut keperluan yang termaktub dalam perjanjian-perjanjian itu.

Salah satu keperluan yang utama adalah menubuhkan sebuah organisasi antidoping kebangsaan untuk negara.

Ia telah dilaksanakan dengan penubuhan ADAMAS pada 2007 sebagai satu unit di Institut Sukan Negara (ISN) dan seterusnya pemindahannya daripada ISN ke KBS pada 2015.

Dr Ramlan berkata, beberapa pusingan usaha untuk melakar dan melakukan tindakan-tindakan seterusnya yang diperlukan dalam proses pengupayaan ADAMAS sebelum ini telah menghadapi penangguhan akibat pertukaran kerajaan serta gangguan lain seperti pandemik Covid-19.

"Namun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan lebih-lebih lagi semasa pentadbiran masa kini, aktiviti pengupayaan dan naik taraf ADAMAS telah disegarkan kembali di KBS.

"Selain daripada peraturan dan garis panduan antidoping yang sedia ada, harus diingati bahawa sebenarnya kita sudah ada undang-undang, pekeliling dan peraturan dalam bidang-bidang lain yang boleh dikaji jika sesuai dan relevan.

"Undang-undang tersebut jika sesuai dalam konteks peraturan sukan dalam bentuk sedia ada atau perlu diubahsuaikan untuk kegunaan dalam arena sukan.

"Yang mana relevan, kita teruskan tetapi yang mana perlu diubah suai mengikut keadaan semasa, sudah tentu ia perlu diperkemas,” jelasnya yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif ISN.

Laporan Khas mengenai isu doping yang disiarkan Sukan Sinar pada Rabu lalu.

Peraturan baharu ambil masa

Dalam pada itu, Dr Ramlan berkata, belum sampai masanya lagi untuk menyenaraikan pengambilan doping dalam kalangan atlet sebagai satu kesalahan jenayah di negara ini.

"Namun, kita perlu pantau keadaan semasa dan melihat kepada negeri-negara lain yang telahpun menubuhkan perundangan tentang doping dan lihat keberkesanannya pendekatan itu.

"Apa yang menjadi keutamaan kini adalah memberi punca kuasa kepada ADAMAS yang seterusnya boleh menangani cabaran doping dengan lebih berkesan dan berkeupayaan, selain terus mengkaji langkah seterusnya dalam proses peningkatan berterusan yang diperlukan pada masa hadapan.

"Pihak berkuasa di negara ini sudah mempunyai tugas dan peranan masing-masing yang perlu juga diselaraskan dan dipantau keberkesanannya.

"Malah, sejak saya menerajui ADAMAS sehinggalah kini di bawah kepimpinan Puan Azura (Abidin), kami cukup bertegas dalam hal-hal membabitkan isu doping dalam kalangan atlet.

"Kita perlu ingat, nak buat peraturan atau undang-undang baharu akan ambil masa. Jadi sebaik-baiknya kita menguatkuasakan peraturan atau undang-undang sedia ada, bukannya kita tak ada undang-undang,” ujarnya.

Dalam usaha memerangi isu doping atau penyalahgunaan bahan terlarang, Dr Ramlan yang juga mantan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) berkata, ADAMAS memerlukan sokongan dan bantuan daripada pihak berkuasa.

"Seperti yang saya selalu sarankan, undang-undang yang dah ada seperti hal-ehwal penyalahgunaan ubat-ubatan yang perlu untuk rawatan penyakit yang sahih atau mencampurkan ramuan dadah terlarang ke dalam suplemen makanan boleh dipertingkatkan.

"Tetapi hanya penguatkuasaan itu tidak segigih dan ketat yang mungkin sehingga seolah-olah tiada peraturan dan undang-undang yang dapat memberi kesan positif terhadap usaha memerangi masalah doping dalam sukan.

"Mungkin disebabkan kita mengambil ringan terhadap aspek penguatkuasaan sehingga isu doping itu hanya dianggap satu sukan, suatu aktiviti permainan dianggap ringan dan belum nampak keutamaannya dan jalan penyelesaiannya.

"Sebab apa isu tersebut boleh timbul, bila undang-undang itu dibuat, mesti ada garis panduan, tata cara dan sebagainya. Jadi itu semua kita kena perhalusi semula,” ujarnya.

Masalah kesihatan umum

Selaku seorang pengamal kanan perubatan sukan di ISN secara kontrak selepas persaraan wajibnya pada 2020, Dr Ramlan menegaskan, isu doping kini tidak boleh lagi dilihat sebagai satu masalah dalam arena sukan semata-mata, sebaliknya ia menjangkau lebih daripada itu.

"Isu doping bukan lagi masalah sukan sebab jika tak dibanteras penyalahgunaan bahan terlarang ini di peringkat akar umbi lagi, ia akan menjadi masalah kesihatan umum.

"Kita harus ingat sekarang ini bukan sahaja atlet prestasi tinggi yang ambil bahan terlarang seperti steroid, tetapi ada anak-anak muda di luar persada sukan yang turut mengambilnya atas sebab kononnya nak jaga badan.

"Anak-anak muda ini lebih suka mengambil jalan pintas untuk mencapai sesuatu atas apa alasan sekalipun. Akhirnya ia secara tidak langsung akan menyebabkan timbulnya masalah kesihatan umum dan pembangunan belia,” katanya.

Sebagai salah satu usaha untuk terus memerangi isu doping, Dr Ramlan berkata, pendidikan di peringkat awal harus didedahkan kepada golongan muda terutamanya mereka yang baru bergelar atlet."Seelok-eloknya pada peringkat sekolah sebelum atau sekitar peringkat baligh lagi supaya mereka dapat dipupuk dan dibentuk karakter dengan nilai-nilai kehidupan yang luhur dan positif.

"Ia akan membawa kepada amalan-amalan baik yang dapat melindungi mereka bukan sahaja doping dalam sukan tetapi pelbagai gejala buruk yang lain di dalam masyarakat seperti merokok, malah dadah sekalipun.

"Bak kata orang tua-tua, nak melentur buluh, biarlah dari rebungnya. Begitu juga jika kita mahu mendidik masyarakat khususnya anak-anak muda tentang penyalahgunaan bahan terlarang.

"Pokok pangkalnya, kita harus tahu bagaimana untuk menangani isu ini iaitu segala-galanya bermula daripada bawah. Tumpuan harus lebih diberikan kepada golongan muda.

"Janganlah kita hanya mencari pesalah semata-mata dan menghukum mereka walhal tindakan pencegahan itu adalah sesuatu yang harus diutamakan. Lebih baik kita mencegah dahulu isu doping ini daripada terus melarat,” ujar Dr Ramlan.

KES POSITIF DOPING

1. Jika sampel atlet mengandungi bahan terlarang, kes dilaporkan sebagai Adverse Analytical Findings (AAF)

2. Atlet dimaklumkan dan diberi pilihan untuk membuka sampel B

3. Sampel B dibuka untuk memastikan ketepatan analisis ujian

4. Kes dugugurkan jika sampel B negatif

5. Jik sampel B positif, kes diteruskan ke peringkat pendengaran kes

6. Atlet perlu memberi penjelasan dan mengemukakan bukti

HUKUMAN/ TINDAKAN BAGI KESALAHAN ANTI-DOPING

1. Gabungan beberapa kesalahan/ ulangan kesalahan/ kesalahan serius/ konflik negara

Hukuman - Penggantungan empat tahun atau lebih

2. Kesalahan sengaja/ tidak berjaga-jaga

Hukuman - Penggantungan empat tahun

3. Kesalahan tanpa sengaja

Hukuman - Penggantungan dua tahun

4. Kesalahan tanpa sengaja atas faktor pengurangan lain seperti umur, pengetahuan, pengalaman dan kelainan upaya

Hukuman - Amaran sehingga penggantungan maksimum dua tahun

PERANAN ATLET

* Mengambil tahu dan mematuhi Kod dan peraturan antidoping

* Bersedia untuk memberi sampel pada bila-bila masa

* Bertanggungjawab atas apa yang diambil/ makan

* Memaklumkan kewajipan sebagai seorang atlet

* Pendedahan hukuman yang pernah dilalui

* Bekerjasama dengan pihak antidoping untuk tujuan siasatan

PERANAN JURULATIH DAN PEGAWAI SOKONGAN ATLET

* Berpengetahuan mengenai Kod dan peraturan antidoping serta mematuhinya

* Bekerjasama dengan program ujian antidoping

* Mengenal pasti pengaruh dan memberikan pengaruh yang baik terhadap nilai dan sikap atlet bagi memupuk budaya anti-doping

* Memaklumkan hukuman lampau kepada pihak National Anti-Doping Organization (NADO)/ International Federation (IF)

* Memberi kerjasama yang proaktif terhadap siasatan antidoping

* Tidak menggunakan bahan/ kaedah yang dilarang tanpa mempunyai alasan munasabah