Penduduk, peniaga Melaka Raya bantah zon bebas kenderaan 54 jam

Iklan
Penduduk dan peniaga yang hadir mengangkat tangan sebulat suara membantah zon bebas kenderaan yang berlanjutan selama 54 jam.

MELAKA - Lebih 400 penduduk dan peniaga di sekitar Melaka Raya menurunkan tandatangan bagi membantah pelaksanaan zon bebas kenderaan selama 54 jam oleh kerajaan negeri.

Presiden Dewan Perhimpunan China Melaka, Piong Yew Peng berkata, petisyen bantahan tersebut telah diserahkan kepada Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong untuk dipanjangkan kepada kerajaan negeri.

Iklan
Iklan

Menurutnya, keadaan itu bukan bermakna pihaknya menolak pembangunan dibawa kerajaan negeri, lebih-lebih lagi usaha untuk menarik lebih ramai pelancong, namun sejak pelaksanaan zon bebas kenderaan selama 54 jam, ramai mendapat impak negatif.

Yew Peng

Katanya, lebih memeritkan urusan harian penduduk turut terjejas dan ada di antara mereka mengambil masa berjam-jam untuk pulang ke rumah selain peniaga mengalami kerugian berikutan pelancong tidak mahu ke Melaka Raya selepas penutupan beberapa buah jalan.

Iklan

"Jadi kita adakan sesi perbincangan bersama penduduk terjejas disebabkan pelaksanaan itu.

"Sebelum ini, kita boleh terima zon bebas kenderaan dilaksanakan bermula hari Sabtu jam 6 petang hingga 12 malam, namun sekarang selama tiga hari dan banyak menimbulkan masalah," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Banda Hilir di sini pada Isnin.

Iklan

Penasihat Urusan Sivil Dewan Perhimpunan China, Goh Han Koon berkata, pelaksanaan itu tidak relevan dilaksanakan di negeri ini yang kecil selain kawasan itu terdapat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah dan hospital.

Han Koon

Menurutnya, banyak cara lain yang boleh dilakukan kerajaan negeri termasuk cadangan menyediakan perkhidmatan bas awam di setiap pintu masuk tol bagi membawa pelancong ke kawasan bandar bagi mengurangkan kesesakan dan pengurangan karbon.

Han Koon turut berharap kerajaan tidak melanjutkan tempoh penutupan jalan di Banda Hilir dalam tempoh tersebut yang benar-benar menimbulkan kegusaran dan rintihan penduduk.

"Jadi kita terima sebanyak 429 tandatangan wakil penduduk dan peniaga, malah yang hadir pada sesi perbincangan ini juga sebulat suara membantah pelaksanaannya," katanya.

Sinar Harian pada 23 Disember lalu melaporkan Poay Tiong turut diadukan mengenai permasalahan itu sehinggakan ada dalam kalangan peniaga di Melaka Raya terpaksa menanggung kerugian kerana pelancong terutama yang menaiki kenderaan tidak dapat melalui jalan tersebut.

Malah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee turut membantah inisiatif zon bebas kenderaan di bandar Melaka yang berlanjutan sehingga 54 jam selain tidak bersetuju dengan pertukaran arah jalan di kawasan sekitar seperti Jalan Bukit Cina.

Menurutnya, sebelum ini, beliau juga pernah menyatakan pendiriannya tidak bersetuju dengan cadangan tersebut atas sebab ketidaksediaan kawasan terbabit dari segi pengangkutan awam dan parkir kenderaan yang boleh dijadikan alternatif bagi mengurangkan kesesakan kepada penutupan jalan itu.