RIO DE JANEIRO - Sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh dalam kejadian berbalas tembakan pada Ahad antara polis dan individu dipercayai anggota kumpulan jenayah di selatan Brazil, lapor Xinhua memetik media tempatan.
Memetik polis tentera, laporan itu menyatakan insiden berbalas tembak berlaku pada awal pagi Ahad di daerah Parolin di Curitiba, ibu negeri Parana di selatan Brazil.
Penduduk melaporkan terdengar lebih 50 das tembakan dan melihat suspek bersenjata api berat di jalanan.
Setibanya di tempat kejadian, polis terus dihujani tembakan menyebabkan berlaku berbalas tembakan yang sengit.
Polis tentera berkata, mereka menemukan 10 senjata di lokasi, dua jaket kalis peluru, kelongsong untuk AK-47 dan peralatan untuk menukar pistol kepada senjata api jarak jauh.
Menurut laporan itu, tembakan awal disebabkan oleh pertempuran antara kumpulan jenayah yang bersaing untuk menguasai penjualan dadah di situ. - Bernama