Keputusan tidak berikan Lesen Kebangsaan kepada TRW tepat

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Isnin.

PEMERHATI bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli menganggap keputusan badan bebas First Instance Body (FIB) untuk tidak memberikan Lesen Kebangsaan kepada Kelantan FC bertanding dalam saingan Liga Super musim 2024/25 sebagai tepat.

Malah menurut Pekan, kegagalan pengurusan The Red Warriors (TRW) melangsaikan tunggakan gaji pemain dan pegawai tidak boleh diambil ringan apatah lagi FIB telah memberikan masa untuk masalah itu diselesaikan.

Iklan
Iklan

"Saya berharap agar tidak ada pihak merasakan hukuman FIB ini kejam, berat sebelah atau sebagainya.

"Jika kita melihat kepada kronologi dan proses yang diambil oleh FIB dalam membuat keputusan, jelas FIB memberikan toleransi, tolak ansur dan masa yang cukup kepada Kelantan FC melengkapkan syarat-syarat yang diberikan.

Iklan

"Malah FIB bukan hanya melihat kepada kes-kes peringkat tempatan malah aduan-aduan yang dikemukakan pemain asing di peringkat FIFA.

"Saya juga tidak mahu menyalahkan kepada pemilik Kelantan FC 100 peratus kerana saya percaya beliau juga sudah berusaha sedaya upaya untuk menyelesaikan tunggakan gaji ini.

Iklan

"Namun FIB masih memberikan masa untuk Kelantan FC membuat rayuan sebelum 8 Januari ini, jadi mereka kena buat sesuatu jika mahu menyelamatkan pasukan,” katanya.

Tambah Pekan lagi, keputusan FIB ini juga perlu diambil iktibar kepada pasukan Liga Malaysia (Liga-M) lain agar tidak terjebak dengan isu tunggakan gaji pada musim depan

"Walaupun hukuman dikenakan tidak boleh beraksi dalam Liga Super 2024/25 tetapi tanggungjawab melangsaikan hutang itu masih perlu dilakukan oleh pemilik Kelantan FC.

"Dan apa yang berlaku ke atas Kelantan FC ini perlu dijadikan pengajaran kepada pasukan-pasukan lain agar menguruskan pasukan dengan penuh profesionalisme terutama dalam melibatkan perbelanjaan pasukan.

"Pasukan bukan saja perlu memikirkan soal bayaran gaji malah KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) juga,” katanya.

Sebagai rekod, Mesyuarat Pelesenan Kelab Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) FIB secara dalam talian pada 31 Disember membuat keputusan bahawa TRW gagal memperoleh Lesen Kebangsaan sekali gus menyaksikan gergasi pantai timur tersebut tidak layak bertanding dalam saingan Liga Super 2024/25.

Keputusan selepas TRW gagal untuk melengkapkan dua Kriteria Kewangan dibawah sub-kriteria F.04 (No Payables Overdue Towards Employees, LHDN, KWSP, PERKESO & EIS – As At June) dan sub-kriteria F.11 (No Payables Overdue Towards Employees, LHDN, KWSP, PERKESO & EIS – As At August) sebelum tarikh akhir ditetapkan 30 November dan 31 Disember.

TRW juga tidak menghantar bukti resit bayaran ansuran bulanan mengikut jadual yang ditetapkan oleh KWSP dan PERKESO untuk tunggakan sehingga Ogos 2023.

Bagaimanapun, TRW diberikan peluang untuk mengemukakan rayuan kepada Badan Rayuan Pelesenan Kelab MFL sebelum tarikh akhir pada 8 Januari