JOHOR BAHRU - Proses kerja fizikal kapal disyaki punca terjadinya tumpahan minyak di sekitar jeti nelayan Nam Heng di Sungai Tiram dalam kawasan perairan Sungai Johor di sini.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Dr Mohd Famey Yusoff berkata, insiden pencemaran terbabit disedari nelayan di kawasan berkenaan, sejak Sabtu lalu.
Menurut beliau, nelayan mendakwa minyak yang mengalir itu berpunca daripada sebuah kapal yang dalam proses kerja-kerja fizikal.
"Pasukan Penguat kuasa Jabatan Alam Sekitar Negeri Johor menjalankan siasatan di lokasi yang diadukan pada Ahad dan mengenal pasti kewujudan minyak di kawasan sekitar jeti.
"Pengurusan terhadap kapal dan kawalan minyak di permukaan air sungai sudah pun menghubungi agensi yang berkaitan," katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Beliau seterusnya mengingatkan semua pihak yang terbabit dengan aktiviti perkapalan di negeri ini agar tidak sesuka hati melakukan pembuangan atau pelepasan sisa minyak ke kawasan perairan.
Katanya, ia menjadi satu kesalahan mengikut seksyen berkaitan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
"Semua diminta tidak melakukan pencemaran selain menjadi mata, telinga dan mulut kepada JAS dalam membanteras jenayah alam sekitar," katanya.