Polis rampas dadah bernilai RM1 juta di Miri

Iklan
PDRM

MIRI - Polis Sarawak menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa dengan penahanan tujuh suspek termasuk seorang warga Indonesia serta merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM1 juta di sini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Ramli Din berkata, tujuh suspek yang terdiri empat lelaki tempatan, dua wanita tempatan dan seorang wanita warga Indonesia berumur lingkungan 21 hingga 39 tahun ditahan di beberapa lokasi di bandar raya Miri pada awal pagi ini.

Iklan
Iklan

"Jumlah dadah dirampas ialah syabu seberat 9 kilogram (kg), serbuk ketamine 349 gram (g), serbuk ekstasi 449g, pil ekstasi 16,250 biji dan pil erimin 5 sebanyak 2,250 biji,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Miri petang ini.

Ramli berkata, jumlah keseluruhan dadah dirampas RM1,021,200 dan turut dirampas dua kereta jenis Mercedes Benz E230 serta Volkswagen Polo kedua-dua dianggarkan bernilai RM105,000.

Iklan

Beliau berkata, sindiket tersebut dipercayai beroperasi selama setahun dengan operasi pengedaran dadah melibatkan pasaran tempatan dan luar negara.

Ramli berkata, hasil siasatan awal mendapati sindiket tersebut turut mengedarkan dadah di Brunei dan Indonesia.

Iklan

Menurutnya, kesemua suspek yang ditahan adalah penganggur, ditahan di tiga lokasi di bandar raya Miri dengan serbuan dilakukan mulai 3.45 pagi dan berakhir 5.40 pagi tadi.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup,” katanya.

Beliau meminta orang awam menyalurkan maklumat bagi membanteras kegiatan pengedaran dadah di bandar raya Miri.

Beliau berkata, polis Sarawak akan membanteras kegiatan pengedaran dadah dengan kawasan tumpuan di pusat-pusat hiburan. - Bernama