Masa untuk Aifa keluar dari zon selesa

Iklan
Pemain skuasy wanita kebangsaan, Aifa Azman. - Foto Bernama

TAHUN Baharu, tekad baharu, sudut pandang baharu.

Pemain skuasy wanita kebangsaan Aifa Azman kini bersedia untuk membuka lembaran 2024 dengan memutuskan untuk keluar dari zon selesa termasuklah menjalani latihan lebih panjang di luar negara.

Iklan
Iklan

Aifa akan menjalani latihan selama dua bulan di England bermula Mac ini dan akan berlatih bersama pemain dalam kelompok 20 teratas di sana.

"Jika saya terpaksa pergi ke mana-mana, memang susah sikit (latihan luar negara) sebab saya 'family person' dan ada komitmen pengajian di Universiti Malaya.

Iklan

"Jika seminggu dua ok, tetapi berjauhan (sebelum ini) untuk masa yang panjang buat saya fikir dua tiga kali, tetapi sekarang saya sedar saya mesti keluar dari zon selesa," katanya kepada Bernama.

Aifa berharap latihan panjang di luar negara dan peluang untuk beraksi dengan pemain terbaik akan membantunya menjadi setaraf dari segi kemahiran dengan kelompok terbabit.

Iklan

Selain latihan di England, atlet dari Kedah itu juga dijadualkan bertanding dalam beberapa kejohanan di London dan Manchester.

Setelah terlepas peluang untuk mencecah kedudukan 20 teratas Ranking Dunia Persatuan Skuasy Profesional (PSA) musim lepas, Aifa berkata, mencapai kedudukan itu amat penting bagi perkembangan kerjayanya.

"Selepas Sukan Asia Hangzhou 2022, saya rasa ada beberapa perbezaan besar dalam permainan saya apabila saya rasa lebih selesa bermain dengan pemain dalam kelompok 20 teratas.

"Saya harap saya akan dapat lebih pendedahan untuk bermain dengan mereka, menyamai tahap mereka dan berada dalam kelompok 20 terbaik. Itu sasaran saya untuk tahun baharu ini," katanya.

Aifa, yang memenangi kejohanan skuasy Terbuka Malaysia 2021 (Jelajah Dunia PSA peringkat Gangsa), iaitu pencapaian terbaiknya setakat ini, berkata beliau tidak sabar untuk menonjolkan diri dengan mencipta lebih banyak kejayaan dalam kejohanan bertaraf lebih tinggi tahun ini.

Bintang meningkat naik itu turut berharap dapat lebih konsisten apabila beraksi dalam Jelajah Dunia PSA peringkat lebih tinggi dan melangkah sekurang-kurangnya suku akhir bagi kejohanan peringkat Perak dan pusingan ketiga bagi peringkat Platinum.

Mengimbau 2023, Aifa berpuas hati dengan pencapaiannya terutama selepas membantu negara membawa pulang dua pingat di Hangzhou.

Aifa adalah sebahagian daripada skuad yang merangkul emas dalam acara wanita dan perak dalam berpasukan kumpulan bersama Mohd Syafiq Kamal.

Beliau mengakhiri musim 2023 dengan mara ke separuh akhir sebelum tunduk kepada pemain nombor lima dunia dari Belgium, Nele Gilis, 8-11, 11-6, 3-11, 6-11 pada Terbuka New Zealand 2023, bulan lepas.

Perlawanan sulung Aifa tahun ini adalah berdepan pemain ke-49 dunia Grace Gear dari England pada Kejohanan Juara-Juara 2024 di New York dari 17-25 Januari ini. - Bernama