BANGKOK - Dalam usaha mengurangkan sisa plastik di Thailand, mulai 1 Januari ini pusat beli-belah, pasar raya dan kedai serbaneka utama di negara itu akan berhenti memberikan beg plastik sekali guna seperti yang diumumkan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Varawut Silpa-archa pada September lepas.
Sejumlah 43 syarikat termasuk CP ALL Pcl, yang mengendali lebih 10,000 kedai serbaneka 7-Eleven di Thailand dan peruncit terbesar di negara itu, Central Group, memainkan peranan mereka untuk menghentikan penggunaan beg plastik.
7-Eleven hanya menyediakan beg plastik kepada pelanggan atas permintaan manakala 137 kedai lain berhenti berbuat demikian bulan lepas sebagai sebahagian daripada tempoh percubaan sebelum larangan itu berkuat kuasa pada 1 Januari.
Langkah ini berjaya mengurangkan kira-kira 991.85 juta beg plastik tahun ini dan menjimatkan kira-kira 198.3 juta baht (AS$6.67 juta) setakat 29 Disember.
Selain itu, kerajaan Thailand telah mengharamkan tiga jenis plastik iaitu mikrobead, penutup botol dan okso boleh urai menjelang akhir tahun ini.
Di bawah Peta Hala Tuju Pengurusan Sisa Plastik 2018-2030, Thailand mengharamkan beg plastik ringan berketebalan kurang 36 mikron, pembungkusan makanan Stirofoam, cawan plastik sekali guna dan straw penyedut minuman menjelang 2022.
Thailand menetapkan untuk mencapai 100 peratus kitar semula sisa plastik menjelang 2027.
Jabatan Kawalan Pencemaran Thailand (PCD) berkata jabatan itu bekerjasama rapat dengan pemain industri plastik untuk mencari bahan alternatif bagi menggantikan plastik.
"Kami juga melihat kemungkinan menukarkan sisa plastik kepada tenaga,” menurut PCD.
Pelajar kolej, Nattapol Pimpat, 25, berkata semua pengguna perlu meninggalkan ketagihan terhadap penggunaan plastik.
"Beg plastik adalah paling mudah dan senang namun ia akan membunuh hidupan marin serta mengganggu kitaran makanan manusia.
"Ia bukan hanya tanggungjawab kerajaan atau korporat tetapi juga masyarakat sivil dan rakyat perlu memainkan peranan mereka secara sukarela,” katanya.
Penjual makanan haiwan, Benchawan Kamta, 38, menyambut baik langkah mengharamkan penggunaan beg plastik sekali guna dan mencadangkan agar kerajaan mengenakan cukai beg plastik yang menyaksikan pengguna akan dikenakan bayaran bagi setiap beg plastik yang mereka ingin gunakan.
Beliau berkata kerajaan perlu membina lebih banyak bank sisa di kejiranan di mana penduduk setempat boleh ‘mendeposit’ sisa itu dan menukarkannya dengan wang.
"Ini akan mengurangkan tekanan di tapak pelupusan,” katanya. - Bernama