JOHOR BAHRU - Seorang lelaki maut apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaikinya terbabas ke dalam longkang berhampiran Lebuhraya Pesisir Pantai di sini, pada awal pagi Selasa.
Menurut Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Pegawai Bomba Kanan II Azmi Johor, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan berkenaan pada jam 5.20 pagi.
Katanya, sejurus menerima panggilan tersebut, sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu jentera Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) dengan 14 anggota bomba dihantar ke lokasi.
"Sebaik tiba di lokasi, Pasukan Keluaran Operasi (PKO), mendapati sebuah MPV jenis Toyota Alphard terbabas masuk ke dalam longkang.
"PKO turun ke dalam longkang yang dianggarkan sedalam dua meter menggunakan tangga jentera.
"PKO menemui seorang lelaki yang disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan dalam longkang sejauh kira-kira 15 meter dari jarak kenderaan tersebut,” katanya.
Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Kerja-kerja ‘sweeping’ dalam longkang tersebut turut dijalankan bagi mencari jika terdapat mangsa yang lain.
Operasi ditamatkan pada jam kira-kira 7.24 pagi Selasa.