Dua jalan dibuka, dua lagi masih terputus hubungan di Mersing

Iklan

JOHOR BAHRU - Dua jalan utama telah dibuka kepada lalu lintas manakala dua lagi laluan masih terputus hubungan di Mersing akibat dinaiki air banjir, pada Selasa.

Berdasarkan laporan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Johor, setakat jam 12 tengahari, Selasa, Jalan Johor Bahru - Endau (laluan FT3, seksyen 107), telah dibuka kepada lalu lintas dan hanya satu lorong dibuka di Jalan Johor Bahru-Kuantan (laluan FT003), Seksyen 100), susulan masih dinaiki air setinggi satu meter (m).

Iklan
Iklan

Dua lagi jalan melibatkan Jalan Kampung Orang Asli Peta dan Jalan Johor Bahru - Endau (laluan FT3, seksyen 106), dilaporkan masih terputus hubungan ketika ini.

Malah, Jalan Johor Bahru-Endau (FT3, seksyen 106), turut dilaporkan dinaiki air setinggi 0.260 m.

Iklan

Laporan daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), pula menunjukkan bahawa tiada amaran hujan berterusan dan tiada amaran ribut petir bagi negeri Johor.

Bagaimanapun, air di dua sungai utama melibatkan Sungai Muar di Buloh Kasap, bagi daerah Segamat dan Sungai Siku di Kampung Murni Jaya (Kulai), dilaporkan masih berada pada aras waspada.

Iklan

Berdasarkan laporan daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), setakat jam 12 tengahari Selasa, Sungai Muar merekodkan aras 8.02 meter (m) berbanding aras bahaya 9.14 m dan Sungai Siku berada pada aras 17.54 m berbanding 18.10 m bagi aras bahaya.

Sementara itu, hanya satu pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi iaitu PPS Balai Raya Kampung Batu Badak di Segamat bagi menempatkan 23 mangsa banjir daripada tujuh keluarga dari Kampung Seberang Batu Badak.