Rakyat Malaysia masih lemah jaga kebersihan

Iklan
Pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sebelum ini meluahkan kekesalan susulan beberapa lokasi yang menjadi tumpuan sambutan tahun baharu 2024 di Kuala Lumpur dicemari sampah yang bertaburan. Gambar kecil: Mokhtar, Hidayah, Hana

KUALA LUMPUR - Masyarakat masih lemah dalam aspek penjagaan kebersihan kerana menganggap pengurusan sampah adalah di bawah tanggungjawab pihak tertentu dan bukan tanggungjawab bersama.

Orang awam, Mokhtar Senik, 59, berkata, selain kempen yang dijalankan secara berterusan, penguatkuasaan tegas menerusi kompaun serta pemantauan berkala perlu dilakukan bagi mendisiplinkan orang awam.

Iklan
Iklan

Selain itu menurutnya, badan bukan kerajaan (NGO) perlu turut sama memainkan peranan melaksanakan kempen berkesan di lapangan bagi terus meningkatkan kesedaran kepada masyarakat.

"Sikap masyarakat kita, di mana ada papan tanda dilarang buang sampah di situ orang akan buang sampah. Ini disebabkan tiada penguatkuasaan yang tegas.

Iklan

"Kempen kesedaran perlu ada kerana ia merupakan pendidikan berpanjangan tetapi penguatkuasaan juga perlu seiring seperti dilakukan di Singapura.

"Selain itu, kalau boleh kempen yang dijalankan bukan sekadar teori sebaliknya secara praktikal dengan melibatkan NGO atau sukarelawan di lapangan semasa acara-acara besar diadakan," katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Pada Isnin, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meluahkan kekesalan susulan beberapa lokasi yang menjadi tumpuan sambutan tahun baharu 2024 di Kuala Lumpur dicemari sampah yang bertaburan.

DBKL menerusi hantaran di Facebook berkata, situasi sama dihadapi saban tahun susulan sikap dan pemikiran sesetengah warga kota yang masih ditakuk lama apabila membuang sampah sesuka hati.

Perunding jualan, Hana Sulaiman, 54, berkata, majoriti masyarakat mengambil mudah mengenai pengurusan sampah berbanding rakyat Jepun yang terbiasa untuk menjaga kebersihan.

"Mentaliti orang kita tiada rasa tanggungjawab mengenai sampah. Walaupun tahu salah buang sampah merata tapi tetap juga buat.

"Kempen berkesan perlu dihidupkan semula menerusi media sosial. Kita juga memainkan peranan untuk terus berikan kesedaran kepada orang terdekat dan masyarakat sekeliling kita untuk biasakan simpan sampah dalam poket jika tak jumpa tong sampah, bukan buang merata," katanya.

Sementara itu seorang pekerja swasta, Hidayah Kamalludin, 28, mencadangkan pekerja asing yang bekerja di Malaysia diberikan kursus selama tiga bulan bagi memahami peraturan dan budaya tempatan.

"Selain masyarakat tempatan yang kurang cakna isu kebersihan, warga asing juga antara punca penyumbang kepada masalah ini.

"Saya cadang supaya mereka diberi kursus bukan hanya perihal peraturan tetapi merangkumi pelbagai aspek adab, kebersihan dan bahasa supaya mereka faham dengan gaya hidup kita," katanya.

Dia juga meminta supaya kerajaan membuat tapisan dalam aspek pengambilan pekerja warga asing supaya tidak membebankan negara.

"Mereka yang mahu bekerja di Malaysia kena ada kelulusan akademik diiktiraf dengan bidang kerja dimohon dan boleh bertutur Bahasa Melayu atau setidaknya mahir Bahasa Inggeris supaya segala kempen yang dijalankan dalam negara sampai ke pengetahuan mereka dan dapat diterapkan bersama, katanya.