SHAH ALAM - Seramai 51 peserta cilik termasuk paling muda berusia dua tahun bakal berentap dalam Pertandingan Pakaian Paling Seram Sinar Bestari pada 7 Januari ini sempena Festival Seram Buku Prima 2024 di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Seksyen 15 di sini.
Editor Eksekutif Lifestyle Sinar Harian, Meen Tahrin berkata, pertandingan tersebut akan berlangsung di Studio F pada jam 2 hingga 5 petang.
"Ramai yang ingin turut serta tetapi disebabkan oleh lokasi dan waktu, kita pilih 51 orang sahaja. Peserta yang berumur di antara dua dan 12 tahun akan datang bersama ibu bapa masing-masing.
"Pertandingan yang julung kali diadakan ini untuk melihat kreativiti selain memupuk keyakinan diri kanak-kanak berkenaan. Ia bukan hanya fokus kepada pakaian, kita juga menilai persembahan mereka. Peserta akan 'catwalk' membawa karakter watak hantu yang digayakan.
"Kita faham, biasanya busana digayakan diuruskan ibu bapa, keyakinan diri mereka akan dapat dilihat sewaktu persembahan. Markah paling besar dikira berdasarkan itu selain mekap dan 'wow faktor' juga turut dinilai," katanya.
Peserta yang mengambil bahagian berpeluang memenangi wang tunai bernilai RM200 (johan), RM150 (naib johan) dan RM100 bagi tempat ketiga. Semua peserta juga akan mendapat sijil penyertaan dan saguhati daripada GrupBuku Karangkaf.
Festival anjuran Sinar Bestari itu dijadualkan berlangsung pada 5 hingga 7 Januari ini dengan sasaran 1,000 pengunjung setiap hari.
Ia bakal dimeriahkan dengan pelbagai pameran, reruai, rumah hantu, gerai jualan makanan dan buku seram disediakan kepada pengunjung.
Dalam pada itu, menerusi reruai Sinar Harian iaitu Zon Keras akan mengetengahkan isu misteri, psiko dan thriller yang berlegar dalam kalangan masyarakat termasuk bilik pengakuan serta soal siasat turut disediakan.