KUANTAN - Perkenalan seorang tukang mozek dengan seorang janda berakhir malang apabila wang simpanan sebanyak RM29,000 miliknya lebur akibat diperdaya sindiket jual beli barang menggunakan aplikasi.
Mangsa, Foong Mun Fei, 42, berkata, dia berkenalan dengan janda dikenali sebagai Xue menerusi media sosial.
Menurutnya, Xue memaklumkan mahu mencari teman hidup selepas bercerai dengan suaminya sejak tiga tahun lalu.
"Selepas seminggu kami berkenalan, dia (Xue) tunjuk tangkap layar satu aplikasi. Dia telah memasukkan wang sebanyak RM30,000 di dalam aplikasi itu.
"Dia meminta saya untuk membeli barang seperti jam dan barang kemas untuk mendapat keuntungan," katanya pada sidang akhbar di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Semambu, di sini, pada Selasa.
Hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Chan Chun Kuang dan wakil Malaysia International Humanitarian Organization (MHO), Daniel Khoo.
Mun Fei memaklumkan, dia memasukkan sebanyak RM1,000 ke dalam aplikasi tersebut bagi tujuan membeli barangan sebagai permulaan.
Jelasnya, selepas membuat pembelian, aplikasi terbabit menunjukkan dia memperoleh keuntungan sebanyak RM250.
"Saya memasukkan wang sebanyak RM25,000 lagi dan kali ketiga sebanyak RM3,000 ke dalam akaun berbeza.
"Namun saya gagal mendapatkan kembali kesemua wang dan keuntungan yang dinyatakan,” katanya.
Dia yang menetap di daerah ini mengakui tertipu selepas gagal memperoleh keuntungan dan gagal menghubungi wanita terbabit.
"Saya lihat nombor telefon Whatsapp masih aktif namun apabila saya cuba menghubungi Xue, dia sudah tidak membalas dan menjawab panggilan.
"Saya membuat laporan polis pada 25 Disember lalu dan mahu pihak polis melakukan siasatan berkaitan kes ini," katanya yang turut menasihatkan kepada orang ramai agar tidak menjadi mangsa penipuan.
Sementara itu, Chun Kuang berkata, pihaknya telah berbincang dengan beberapa pihak termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan pihak polis bagi menangani masalah sindiket penipuan di negara ini.
Ujarnya, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas dan menasihatkan mana-mana pemilik akaun agar tidak terpedaya dan tidak meminjamkan akaun mereka kepada pihak lain.
"Kita bimbang akaun ini akan disalahgunakan untuk aktiviti penipuan,” katanya.