KUALA LUMPUR – Tiga pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan seorang lagi rakan mereka mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas satu pertuduhan merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun, sehari sebelum Krismas minggu lalu.
Tiga remaja berusia 19 tahun serta pemandu e-hailing, Muhammad Daniel Roszali, 22, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Mohd Kafli Che Ali.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa merogol seorang kanak-kanak perempuan berumur 12 tahun enam bulan, di bilik sebuah rumah flat di Cheras di sini pada jam 2 hingga 3.40 pagi, 24 Disember tahun lalu.
Pertuduhan dibuat bawah Sesyen 376(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Noorhani Muhmmed Ayub mencadangkan, keempat-empat lelaki itu tidak diberikan ikat jamin kerana kesalahan yang dipertuduhkan sangat serius terutama melibatkan mangsa kanak-kanak.
Bagaimanapun, peguam, Nasrul Hadi Mat Saad yang mewakili semua tertuduh, merayu agar mahkamah menggunakan budi bicara untuk memberikan ikat jamin mengikut Seksyen 388 Kanun Tatacara Jenayah.
"Tiga pelajar lepasan SPM ini masih muda dan mereka menunggu tawaran untuk melanjutkan pelajaran.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Mohd Kafli membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin, termasuk syarat tambahan, tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai dan melaporkan diri di balai polis berhampiran sekali setiap bulan.
Mahkamah menetapkan 14 Februari depan untuk sebutan semula kes.