80 pekebun sawit hilang pendapatan akibat banjir termenung

Iklan
Mohamad (kanan) menunjukkan keadaan air banjir melimpah ke kawasan kebun kelapa sawit penduduk di Kampung Parit Mahang di sini pada Selasa.

KUALA SELANGOR - Kira-kira 80 pekebun kecil kelapa sawit di Kampung Parit Mahang di sini terjejas teruk akibat banjir termenung yang masih belum surut sejak awal November tahun lalu.

Rata-rata pekebun mendakwa, keadaan itu menyebabkan pendapatan penduduk terjejas kerana sebahagian besar bergantung kepada kelapa sawit.

Sazali

Iklan
Iklan

Seorang penduduk, Sazali Rahiman, 49, berkata, kawasan kebun kelapa sawit seluas kira-kira 96 hektar itu masih ditenggelami air sehingga kini.

"Air banjir mula memasuki kawasan kebun mengakibatkan kami sukar mengait dan mengeluarkan buah sawit.

Iklan

"Apabila buah sawit tidak dikait terlalu lama ia berisiko rosak dan pokok sawit, jika lama terendam dalam air boleh merencatkan pertumbuhan," jelasnya.

Menurut Sazali, sebanyak 0.4 hektar tanaman sawit diusahakannya tidak dapat mengeluarkan hasil seperti kebiasaan.

Iklan

"Sepatutnya ini kali keempat pemotongan buah sawit, tetapi tidak dapat dikait akibat banjir melimpah ke kawasan tanaman," ujarnya.

Mohamad

Seorang lagi penduduk, Mohamad Daud, 73, berkata, meskipun banjir besar pada tahun 2021 lalu, namun 'bah' kali ini yang melanda kebun penduduk masih 'tersumbat' dan tidak surut.

Mohamad berkata, beliau antara pekebun awal meneroka kawasan itu pada tahun 1975 dan mula menanam kelapa sawit pada tahun 1982.

Katanya, suatu ketika dahulu, kawasan itu tidak pernah dilanda banjir, namun keadaan jauh berubah sejak 10 tahun kebelakangan ini.

"Biasanya empat atau lima hari banjir dah kembali reda, sebaliknya kami masih menghitung hari bila banjir kembali surut.

"Keadaan banjir bukan sahaja menjejaskan tanaman penduduk, malah menyebabkan jalan kebun rosak teruk dan berlubang," tambahnya.

Menurut Mohamad, limpahan air dipercayai dari parit barat laut ke jalan dan kebun penduduk.

Jelasnya, keadaan kunci air yang belum siap sepenuhnya menyukarkan aliran air untuk dibuang ke sungai berhampiran.

"Air ini sepatutnya mempunyai saliran keluar, tetapi ia masih bertakung hingga ke hari ini," katanya.

Zamali menunjukkan keadaan pokok sawit yang terendam terlalu lama akibat banjir.

Seorang lagi penduduk, Zamali Md Sahid, 54, berkata, agensi kerajaan bertanggungjawab diharap dapat membantu menyelesaikan masalah dihadapi penduduk terlibat.

Jelasnya, keadaan itu jika tidak diatasi segera lebih banyak kerugian terpaksa ditanggung pekebun kecil.

"Jika keadaan ini tidak diatasi segera, lebih banyak kerosakan pokok sawit dan ia memberi kesan kepada pendapatan penduduk," katanya.

Selain itu, Zamali mencadangkan kerajaan membantu pekebun kecil terkesan menerusi bantuan wang tunai dan subsidi akibat musibah ditanggung pekebun kecil.

"Bantuan ini secara tidak langsung meringankan beban pesawah lebih-lebih lagi dengan kenaikan input pertanian seperti baja, racun serta peralatan pertanian lain," ujarnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok, Jefri Mejan berkata, beliau turut menerima aduan daripada pekebun terlibat.

Jelas beliau, perkara itu telah dibawa kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk kajian dan tindakan lanjut.

"Penduduk mengadu, mereka tidak dapat mengeluarkan hasil sejak dua bulan lalu disebabkan air parit tidak mengalir.

"Kita harap masalah ini dapat diatasi segera bagi membantu penduduk terkesan," katanya.